• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

EKSPO TERENGGANU 2018: PM Saksi Pertukaran Empat Dokumen Projek Pembangunan Impak Tinggi

Wan Ahmad Rudirman membuat pertukaran dokumen bersama CEO CCC, Bai Yinzhan sambil disaksikan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abd Razak dan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abd Razak menyaksikan pertukaran empat dokumen rasmi sebelum merasmikan Majlis Penutup Ekspo Terengganu 2018 di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini.

Mengiringi beliau menyaksikan pertukaran-pertukaran tersebut, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.

Bagi segmen pertama, Mohd Najib menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Antara Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Sdn Bhd (CCC) untuk menjayakan projek berimpak tinggi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Simbolik penyerahan dokumen perjanjian tersebut diwakili oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dr Wan Ahmad Rudirman dari Terengganu Inc manakala MRL oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato' Sri Darwis Abdul Razak dan CCC pula oleh Pengarah Urusan Eksekutifnya, Bai Yinzhan.

Segmen kedua pula menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman diantara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato' Sri Jebasingam Issace John dan MRL pula oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato' Sri Darwis Abdul Razak.

Majlis pertukaran dokumen tersebut adalah bagi kerjasama di antara ECERDC dan MRL menerusi program pembangunan modal insan  ECERDC iaitu 'Empower ECER' yang akan memberi manfaat kepada para pelajar dari 49 sekolah sekitar stesen sepanjang laluan ECRL di Terengganu, Pahang dan Kelantan dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 1,350 orang.

Manakala bagi segmen ketiga pula, Mohd Najib menyaksikan penerimaan Nota Surat Komitmen bagi membangunkan Terengganu International Industrial Park (TIIP) di atas tapak seluas 1,000 ekar di KM402, Lebuhraya Pantai Timur (Kuala Terengganu - Kuala Lumpur)Mukim Kuala Berang, Terengganu.


Penyerahan tersebut diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LS Associates (SEA) Sdn Bhd, Maimunah Abu Bakar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.

Dalam segmen terakhir, Mohd Najib menyaksikan Majlis Penyerahan Dokumen/Surat Komitmen Oleh Pelabur Berpotensi Untuk Pembangunan Lembah Silika Terengganu kepada Wan Nawawi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Silika.

Penyerahan pertama diserahkan daripada Naib Presiden dan Penasihat Undang-undang Kumpulan Petronas, Maliki Kamal M. Yasin bagi penyaluran dan pembekalan gas ke tapak Lembah Silika Terengganu.

Seterusnya, Wan Nawawi menerima surat komitmen bagi pembangunan infrastruktur dari Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Jebasingam Issace John.


Wan Nawawi turut menerima surat komitmen daripada Pengerusi Terengganu Industrial Mineral Group, Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud.

Penyerahan terakhir dilakukan oleh Pengerusi Eksekutif Melewar Group, Tunku Dato' Yaacob Khyra Almarhum Tunku Tan Sri Abdullah sebagai 'Master Developer' bersama MB Incorporated bagi pembangunan Lembah Silika Terengganu.

Selepas menyaksikan pertukaran empat dokumen tersebut, Mohd Najib sempat memotong pulut kuning sempena sambutan ulang tahun ECER yang ke-10.

Tag: