• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

EKSPO TERENGGANU 2018 : TDM Perintis Biogas Pertama Di Malaysia



Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

TDM Berhad  muncul syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama di Terengganu dan juga perintis di Malaysia yang memperkenalkan Biogas.

Majlis Menandatangani Penerimaan Tawaran Projek Usahasama Penghasilan Biogas dan Penjanaan Kuasa Elektrik melalui perjanjian kerjasama `Build-Own-Operate-Transfer' (BOOT) Kumpulan TDM Berhad dengan syarikat Concord Alliance Sdn. Bhd. berlangsung di Dataran Shahbandar,  Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini.

Tawaran tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TDM Berhad,  Dato’ Mohamat Muda  kepada Pengarah Eksekutif Concord Alliance Sdn Bhd,Datuk Khairuddin Tan Sri Mohd Hussin, dengan disaksikan Menteri Besar,  Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman,  Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Eksekutif Concord Alliance Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Seri Mohd Hussin Abd Hamid.




Dato' Mohamat berkata, menerusi pemberian tawaran projek ini, projek pembangunan loji Biogas memperkenalkan konsep penukaran `waste to wealth' sisa buangan ke sumber pendapatan,di mana tenaga elektrik yg terhasil akan dijual kepada  Tenaga Nasional Berhad di bawah kuota Feed-in-Tariff (FIT) yang akan dipohon kelak daripada `Sustainable Energy Development Authority Malaysia' (SEDA).

Katanya, loji biogas mengutamakan teknologi hijau dalam memastikan penjagaan alam sekitar yang mampan dan juga membantu mengukuhkan lagi sistem rawatan olahan kilang kelapa sawit yang sedia ada supaya tidak mencemarkan alam sekitar.

“Pemberian tawaran ini adalah untuk di dua lokasi kilang-kilang kelapa sawit TDM Plantation Sdn Bhd di Kemaman dan Sungai Tong di Negeri Terengganu. Kos perbelanjaan keseluruhan projek Biogas Plant ini untuk dua kilang adalah dalam lingkungan RM38 juta, walau bagaimanapun TDM telah menggunakan konsep `BOOT' iaitu 'built, operate, own, transfer' di mana semua kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemaju dan peratusan daripada hasil keuntungan akan diagihkan kepada TDM setiap tahun mengikut perjanjian yang telah dipersetujui. Konsesi ini akan beroperasi selama 16 tahun dan selepas itu keseluruhan aset tersebut akan diserahkan kepada TDM secara  percuma,” katanya.


Sementara itu, Wan Nawawi pula berkata, TDM telah merangka satu pelan peniagaan  jangka panjang yang mantap dalam usaha untuk menjadi satu pemain atau institusi utama dalam sektor perladangan di masa hadapan. 

"Sebagai pemegang sijil RSPO dan MSPO yang komited, TDM telah meluluskan pembinaan Biogas plant ini. Di samping menjaga alam sekitar, plant ini juga mampu menjana kewangan untuk syarikat bagi setiap jumlah tenaga elektrik yang disalurkan ke grid TNB.

"Kedua-dua kilang kelapa sawit di Kemaman dan Sungai Tong mampu memproses buah kelapa sawit lebih 600,000 metrik tan setahun. Dari jumlah ini sebanyak 390,000mt sisa buangan cecair yang akan terhasil dan ini cukup untuk membekalkan gas methane bagi plant Biogas tersebut untuk penjanaan tenaga elektrik lebih daripada 4 megawat sejam,” katanya.

Tan Sri Datuk Seri Mohd Hussin pula menjelaskan, TDM memberi tawaran projek kepada Concord Alliance Sdn Bhd dalam usaha ke arah penjagaan alam sekitar yang mampan, menjana pendapatan tambahan kepada syarikat, mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak tempatan dan juga membantu membekalkan bahan untuk kegunaan kilang baja bio-organik TDM.

“Kami melahirkan rasa gembira kerana TDM telah memilih Concord Alliance Sdn Bhd untuk projek usahasama ini. Kami akan membuktikan kepada TDM bahawa kami boleh melakukan dan menyampaikan apa yang kami janjikan. Sekiranya kita boleh melakukannya, Concord Alliance Sdn Bhd akan menjadi penyumbang utama dalam memudahkan pihak lain dan pihak berkepentingan, seperti badan pengawal selia seperti TDM, dalam mencapai Agenda Hijau Malaysia.

Selain daripada pihak TDM, kami juga amat berterima kasih kepada pihak SEDA, TNB, Bioeconomy Corporation, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), MIDA, Instituti-institusi Perbankan MDV dan Hong Leong Bank, Malaysian Green Technology Corporation, Suruhanjaya Tenaga dan CGC di atas sokongan dan kepercayaan penuh kepada Kumpulan Concord sepanjang penglibatan kumpulan kami di dalam projek biogas dan harapan kami agar kerjasama ini akan dapat diteruskan bagi projek bersama TDM di kedua-dua lokasi tersebut”, katanya.

Untuk rekod, inisiatif itu adalah sebahagian dan langkah permulaan yang diambil oleh TDM dalam merealisasi pelan perniagaan jangka panjang yang dirangka selaras dengan Model Transformasi TTB (Transformasi TDM Baharu) bagi Entry Point Project (EPP) yang ke-8 dari 40 EPP yang terdapat dalam Model TTB yang diperkenalkan oleh TDM pada 27 Februari tahun lalu.

Tag: