• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Elak Aktiviti Berkelah Di Air Terjun Di Musim Hujan

Wan Nawawi ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Indeks Akauntabiliti Jabatan Dan Agensi Negeri Pada Tahun 2016 Dan Pelancaran Buku Senarai Semak Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Zulkifli C.W. Putra

Orang ramai dinasihatkan mengelak aktiviti riadah di kawasan sungai dan air terjun berikutan cuaca tidak menentu ketika ini yang boleh meningkatkan risiko fenomena ‘kepala air’.

Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail berkata, fenomena kepala air amat berbahaya kerana berlaku tanpa dijangka sehingga boleh meragut nyawa.

“Keadaan air terjun yang jernih dan cetek tidak boleh dijadikan ukuran untuk orang ramai berasa selamat melakukan aktiviti rekreasi berikutan 'kepala air' boleh terjadi sekiranya hujan berlaku di hulu sungai dan puncak bukit.

“Bencana boleh datang bila-bila masa sahaja kerana musim-musim macam ini, kemungkinan akan berlaku ‘kepala air’ dan sebagainya.

“Justeru, saya nasihatkan, kita semua perlu sentiasa berhati-hati, bukan sahaja di tempat air terjun tetapi di laut pun sama. Seboleh-bolehnya, cuba elak kawasan-kawasan ini untuk mandi-manda dan lakukan aktiviti air yang lain,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai fenomena ‘kepala air’ di musim hujan selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Indeks Akauntabiliti Jabatan Dan Agensi Negeri Pada Tahun 2016 Dan Pelancaran Buku Senarai Semak Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Zainal Abidin Hussin.

Nawawi berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika musim tengkujuh terutama yang menetap di kawasan yang selalu dinaiki air.

“Orang ramai perlu prihatin dengan mengikut arahan, amaran dan mendengar berita-berita berkaitan dengan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Tag: