KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan segala aktiviti melibatkan pantai buat sementara berikutan penemuan ubur-ubur jenis Portuguese Man o’War pada Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata, berkait isu itu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah disarankan memasang papan tanda amaran di pantai-pantai tumpuan pelancong di negeri ini.
Katanya, walaupun kemunculan ubur-ubur itu adalah perkara biasa yang terjadi setiap tahun namun ia tidak boleh dipandang remeh.
“Hal ini kerana, masih ada pengunjung yang tidak mengetahui tentang bahaya jika tersentuh atau disengat oleh ubur-ubur beracun itu.
“Isnin lalu, seorang kanak-kanak telah disengat ubur-ubur itu ketika sedang berada di Pantai Kekabu, Marang namun keadaannya kini stabil setelah menerima rawatan di sebuah klinik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Pengerusi kepada kakitangan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) Tahun 2023 bertempat di Dewan Besar, Tingkat 3, Menara PMINT di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dato’ Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof.
Tambah Dr Azman, ubur-ubur jenis Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ itu sangat berbahaya kerana ia masih beracun walaupun sudah mati.
“Lebih merisaukan kerana saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat serta boleh mengundang bahaya kepada orang ramai yang tidak menyedari kedamparannya di pantai.
“Oleh itu, dengan pemasangan papan tanda amaran mengenai ubur-ubur jenis Portuguese Man o’War tersebut untuk memperingatkan pengunjung agar lebih berhati-hati ketika berada di pantai,” katanya.
Di samping jelasnya, pengunjung dinasihatkan juga tidak melakukan aktiviti di pantai kerana kita masih berada di tempoh musim tengkujuh.
“Walaupun keadaan laut yang tidak bergelora namun bila-bila masa sahaja ombak-ombak besar boleh berlaku sehingga boleh berlaku bahaya kepada orang awam,” katanya.