• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Elakkan Wujud Kluster Ibadah - Zulkifli

HULU TERENGGANU, 30 Julai - Orang ramai diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan ketika menyambut Hari Raya Korban bagi menggelakkan wujudnya kluster Ibadah dalam menangani penularan COVID-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia penting bagi memastikan tidak ada lagi penularan wabak pandemik atas nama ibadah seperti kes terdahulu iaitu kluster tabligh.

Katanya, isu ibadah korban ini merupakan satu isu yang menarik untuk dilihat oleh semua pihak khususnya beragama Islam.

"Kita telah mengeluarkan SOP ibadah korban dan kita telah noktahkan dan saya juga telah menyatakan dalam laman web termasuk facebook, instagram kami mengenai peraturannya.

"Oleh kerana itu, jaga perkara ini kita hendak supaya tidak ada sebarang kluster ibadah, ibadah solat atau haji termasuk ibadah korban.

"Yang ini kita akan tengok dari semasa ke semasa, saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya tidak berlaku kluster ibadah dan setakat ini Alhamdulillah, selamat selepas kita mengambil iktibar yang besar bila berlakunya kluster tabligh dulu,"  ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Yayasan  Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli : Cuci-cuci dan Musa'adah Pasca COVID-19 Terengganu di KUDQI, Kubang Lembik, Manir.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun dan Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasruddin Hassan.

Terdahulu, seramai 100 yang terdiri daripada kumpulan masyarakat B40 dan miskin yang terkesan dengan musibah COVID-19 menerima bakul makanan (food basket) berupa barangan keperluan harian.

Sementara itu, mengulas tentang pematuhan SOP di masjid, beliau berkata ia berada di tahap yang baik sehingga hari ini.

"Alhamdulillah kita jaga penjarakan sosial dan kita ada SOP yang bagi saya cukup baik sudah dua bulan atau lebih kita mula solat Jumaat, nampaknya masih teratur dan terkawal. 

"Kalau mengikut apa yang direkodkan oleh pihak polis dan apa yang saya dengar dalam perbincangan khususnya di Majlis Keselamatan Negara (MKN), lebih daripada 99.5 peratus yang mematuhinya, Alhamdulilah kepatuhan yang baik," katanya.


Tag: