• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Empat Graduan PHT Terima Anugerah Pengarah

HULU TERENGGANU, 30 Oktober – Seramai empat graduan Politeknik Hulu Terengganu (PHT) dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang dengan menerima Anugerah Pengarah di Majlis Konveksyen PHT ke-9 bertempat di Dewan Batu Bersurat, Kampus Baharu PHT, Kuala Jeneris di sini semalam.

Pengarah PHT, Azahan Daud berkata penerima tersebut adalah Fatin Syazwani Ismail bagi Sesi I 2021/2022, Nur Ismie Mohammed Iskandar bagi Sesi II 2021/2022.

Sementara itu katanya, Muhammad Izrie Roslan penerima bagi Sesi I 2022/2023 manakala Siti Zawani Zakaria untuk Sesi II 2022/2023.

"Seramai 146 graduan diraikan di majlis itu dengan masing-masing menerima penganugerahan Diploma Pengurusan Pelancongan dan Diploma Akauntansi.

"Majlis Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 93 daripada graduan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti manakala 53 graduan lagi daripada graduan Jabatan Perdagangan layak menerima diploma masing-masing untuk sesi I 2021/2022 hingga sesi II 2022/2023," jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Azahan lagi, PHT merupakan institusi yang diberi pengiktirafan persijilan MS ISO 9001:2015, membuktikan bahawa institusi itu menawarkan perkhidmatan yang mencapai piawaian standard dan berkualiti.

"Berpaksikan tema konvokesyen pada kali ini, ‘Graduan TVET Sinergi Pemacu Pembangunan Negara, PHT akan terus mengorak langkah aktif dan proaktif bagi menuju dan melonjak menjadi sebuah penyedia pendidikan TVET yang berkualiti dan melahirkan graduan berkualiti dan seimbang serta bercirikan keusahawanan yang berdaya saing di peringkat global," katanya.

Tambah beliau, PHT bersama para pensyarah dan warga kerja akan terus memperkasa dan membudayakan bidang penulisan, penyelidikan dan inovasi (R&D) dengan memasuki pertandingan dan pembentangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Jelasnya, rangkaian kerjasama bersama lebih 47 rakan industri dan agensi kerajaan mahupun swasta dengan jalinan COC berkaitan akan terus diperkukuhkan.

"Pihak industri antara lain berperanan dalam menjadikan kurikulum program pengajian yang ditawarkan oleh PHT sentiasa relevan dari semasa ke semasa dan mengikuti kehendak industri," jelasnya lagi.


Tag: