• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Empat Keluarga Terima Rumah PPRT

DUNGUN, 9 Disember – Empat buah keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura masing-masing telah menerima sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin menzahirkan rasa syukur atas keberhasilan projek ini apabila berjaya memenuhi hasrat penduduk yang kurang berkemampuan memiliki sebuah rumah untuk berteduh. 

“Syukur kali ini di peringkat DUN Sura, kita berjaya menyiapkan empat buah rumah PPRT iaitu di Kampung Kubang Miang, Kampung Nibong, Kampung Sura Tengah dan di Kampung Sura Lapangan Terbang, " ujarnya. 

katanya, projek PPRT ini merupakan peruntukkan daripada Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) yang disalurkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

“Dengan peruntukkan PPTS ini, kita bukan sahaja dapat membina rumah tetapi ia turut digunakan untuk membaiki rumah penduduk di Kawasan DUN Sura ini, " ujarnya. 

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, memandangkan projek ini dimohon dan diluluskan sewaktu beliau masih lagi bergelar ADUN Sura.

“Projek ini merupakan usaha mantan ADUN Sura mendapatkan sebuah rumah kepada penduduk yang berkelayakan dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas tinggalan jasa beliau kepada penduduk di DUN Sura ini.

Turut hadir, mantan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik sewaktu sesi penyerahan kunci rumah tersebut baru-baru ini. 


Tag: