KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Terengganu setakat jam 9.00 pagi ini susulan hujan lebat dan berterusan sejak semalam, melibatkan seramai 364 mangsa daripada 112 keluarga.
Berdasarkan data InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan Chendering di Kuala Terengganu, Dewan Sivik Seberang Pintasan di Dungun, Sekolah Kebangsaan Tok Jembal serta Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot di Kuala Nerus.
PPS Sekolah Kebangsaan Tok Jembal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan seramai 265 orang daripada 79 keluarga, diikuti Sekolah Kebangsaan Chendering yang menempatkan 65 mangsa daripada 20 keluarga.
Manakala, Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot dengan 34 mangsa daripada 14 keluarga. Dewan Sivik Seberang Pintasan setakat ini tidak menempatkan sebarang mangsa.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ir. Samsuri Ahmad Mokhtar berkata, hujan lebat yang berterusan turut menjejaskan pergerakan penduduk di beberapa kawasan.
"Hujan lebat dan berterusan sejak semalam turut menyebabkan beberapa jalan tidak dapat dilalui," katanya menerusi satu hantaran di Facebook sebentar tadi.
Beliau turut mendoakan agar segala urusan mangsa banjir dipermudahkan dan keselamatan semua pihak sentiasa terpelihara.
"Saya mendoakan agar segala urusan mangsa dipermudahkan, keselamatan semua pihak sentiasa terpelihara serta hujan segera reda dan tidak berlarutan," ujarnya.
Beliau turut mengharapkan agar negeri Terengganu terus dilindungi dan rakyat diberikan ketabahan menghadapi ujian.
"Semoga Allah SWT melindungi negeri Terengganu dan mengurniakan ketabahan serta kekuatan buat seluruh rakyat yang diuji," tambahnya.
Dalam pada itu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam, Terengganu dan Kelantan akan terus mengalami hujan berterusan tahap bahaya hingga Isnin (29 Disember).