• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Enakmen Pindaan 356 Perkasakan Syariat

KUALA NERUS, 7 Disember - Kerajaan berusaha memaksimakan hukuman yang ditetapkan dengan meminda 17 enakmen sedia ada kepada hukuman 356 bagi memperkasakan syariat Islam di negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan memperkasa syariat Islam mengikut had kuasa negeri dan kemampuannya secara berperingkat dan tidak gopoh.

Beliau berkata demikian sebagai ahli panel Wacana Keindahan Syariat Islam dan Pelaksanaannya anjuran Lubna TV di Dewan Auditorium, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini hari ini.

Turut hadir sebagai ahli panel, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata kerajaan Terengganu berusaha melaksanakan syariat Islam berdasarkan kepada kuasa yang sedia ada. Katanya pada tahun 2001 kerajaan meluluskan Enakmen Kesalahan Syariah (Hudud, Qisas dan Takzir) bila kerajaan mendapat kuasa.

Menurut beliau kerajaan memperkasakan enakmen sedia ada khususnya hukuman takzir bila mendapat kuasa semula pada tahun 2018.

“Pada tahun 2022 kerajaan kemaskini semula enakmen takzir antaranya termasuk kerajaan memaksimumkan hukuman sedia ada kepada hukuman 356 (tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan),” jelasnya.

Katanya mana-mana kesalahan jenayah syariah tidak boleh lebih dari had hukuman tersebut. “Jadi kita (kerajaan) memperkemaskan enakmen berkenaan dalam konteks negeri Terengganu dengan kuasa yang kita ada,” ujarnya.

Justeru katanya kerajaan memaksimumkan 17 enakmen berkaitan kepada hukuman 356 dan menambah seksyen yang baharu.

“Antaranya ialah pengamal sihir disifatkan sebagai satu kesalahan jenayah dan dikenakan hukuman berkenaan,” ujarnya.


Tag: