• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Enam Keluarga Mangsa Banjir Dipindahkan

KUALA TERENGGANU, 24 November – Enam keluarga mangsa banjir di Kampung Binjai susulan hujan lebat sejak semalam telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Chendering.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah berkata, anggota Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu telah memindahkan 15 orang mangsa berusia lingkungan lima hingga 74 tahun.

“Pihak Pengurusan Bencana Daerah Kuala Terengganu telah mengenalpasti kawasan berpotensi untuk naik air dan memulakan operasi pemindahan sekitar 8.30 malam hasil hujan lebat berkala bermula dari awal pagi kira-kira jam 6.00 sehingga 11.00 malam dengan kenaikan air kira-kira 1.3 meter (3 kaki),

“Pihak kami sentiasa bersedia di kawasan ini kerana air melimpah dari bukit Cerun Binjai tertumpu di sini (Kampung Binjai) kemudian mengalir ke muara Kuala Ibai.

“Mangsa di PPS turut menjalankan saringan oleh anggota Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas di sini,” katanya ketika ditemubual pemberita di SK Chendering, malam semalam.

Mengulas tentang Pengurusan Bencana Daerah Kuala Terengganu, Ariffin berkata, pertubuhan tersebut diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dipengerusi Pegawai Daerah dan dianggotai jabatan-jabatan berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, mangsa iaitu sepasang suami isteri warga emas, Mohd Harun Awang, 71, dan Ngah Ali, 74, mereka berkata, air banjir mula menaiki kediaman mereka pada jam 2.00 petang.

“Bomba datang dengan bot untuk ambil kami sekitar jam 10 malam, air banjir naik di dapur kami setakat peha, tapi sebahagian barang sudah diangkat ke tempat selamat oleh snaak saudara berdekatan.

“Mujur pihak penyelamat datang dengan bot sebab kita orang tua dah tak boleh selamat apa-apa,” kata Harun.

 


Tag: