• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Enam Masjid Ditutup Untuk Proses Sanitasi

KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan kerajaan Jumaat lalu, sebanyak enam masjid di negeri ini terpaksa ditutup untuk proses sanitasi. 

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin berkata, penutupan masjid antara tiga dan lima hari itu hanya untuk disanitasi susulan rumah ibadat itu dikunjungi jemaah disyaki kontak rapat kepada individu dijangkiti virus COVID-19.

Katanya, bagi mengelakkan lebih banyak masjid ditutup untuk disanitasi, masyarakat digesa terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Jelasnya, arahan mengehadkan jumlah jemaah ke masjid untuk solat Jumaat dan surau antara kaedah terpaksa dilakukan bagi mengelak penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan komuniti.

"Tindakan mengehadkan jumlah jemaah untuk menunaikan solat jumaat dan solat fardhu di semua surau bukan bertujuan menghalang mereka ke masjid dan surau, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan berlakunya kluster masjid.

"Kita dimaklumkan, jumlah jangkitan tempatan COVID-19, sejak pelaksanaan PKP 2.0 dikuatkuasakan kerajaan adalah berjumlah 480 kes.

"Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dimaklumkan sejak berlakunya penularan pandemik COVID-19, kalangan tempatan, enam masjid diarahkan untuk proses sanitasi," katanya.

M Rozi berkata demikian ketika menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 kepada petugas barisan hadapan kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.

Penyampaian replika cek daripada MAIDAM itu disampaikan kepada Pengarah HSNZ, Dr Amizan Mohamed.

M Rozi berkata, masyarakat Islam di negeri ini digesa supaya mengutamakan pemantuhan SOP untuk bersama membantu kerajaan memutuskan rantaian jangkitan dan menghalang perebakan COVID-19 dalam komuniti.