• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Enam Pemancing Hilang Ditemui Selamat

KEMAMAN, 27 Mac - Enam pemancing yang dikhuatiri telah hilang sejak Selasa lalu ditemui selamat di perairan Pahang, semalam.

Komander Zon Maritim Malaysia Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot pemancing tersebut telah ditunda oleh bot nelayan Pahang yang menjumpainya.

"Berdasarkan maklumat awal, pemancing tersebut turut memberitahu bot mengalami kerosakan pada kipas enjin bot yang tercabut dan menyebabkan bot mereka hanyut," ujarnya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu, kepulangan enam pemancing tersebut yang selamat tiba di Balai Polis Chukai lewat petang semalam turut disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Hanafiah memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas penemuan semula enam pemancing itu.

"Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak sama ada daripada agensi kerajaan, Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman, Nelayan Pahang dan lain-lain yang turut sama membantu urusan dalam pencarian mangsa hilang ini. 

"Terima kasih juga buat jemaah masjid dan surau yang telah mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan dan kepulangan enam orang pemancing ini," katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai.

Hanafiah dalam pertemuan itu turut menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai buat semua pemancing itu.


Tag: