• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Enam Penerima Anugerah Tokoh Istiqamah

Dr Abu Bakar Abdullah antara penerima Anugerah Tokoh Istiqamah Sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.  Foto- Syaiful Mustafa

KUALA NERUS - Muktamar Tahunan PAS Kali ke-64, yang bersidang pada 15 dan 16 September lalu, telah menganugerahkan “Tokoh Istiqamah” kepada enam penerimanya di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus.

Tokoh-tokoh itu dipilih dari pelbagai latar belakang dan peranan penting bersama perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), antaranya seperti berikut.
Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok kini menetap di Sungai Merab, Selangor. Keluarga asalnya dari keturunan beraja Bugis, Sulawesi, Indonesia. Ayahnya allahyarham Raja Ibrahim atau lebih dikenali Daeng Mariok merupakan seorang Putera Raja yang ditabalkan di Kalimantan, Indonesia.

Beliau lulusan pengajian Islam dan pernah belajar di Kolej Islam Malaya. Beliau menyambung pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir hingga ke peringkat PhD dan sekembalinya ke Malaysia, beliau mengajar di Kolej Islam Kelang.

Apabila UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) ditubuhkan dan Kolej Islam Malaya diserap menjadi Fakulti Pengajian Islam, beliau menjadi pensyarah di UKM tersebut.

Jawatan yang pernah disandang dalam PAS iaitu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS sejak 2015 hingga sekarang. Naib Presiden PAS (1989 hingga 1997), Ahli Jwatankuasa Kerja PAS Pusat (1976 hingga 1989), Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Ahli Majlis Syura Ulamak, Pengarah Urusan Harakah PAS dan Pengerusi Pemilihan PAS (2007).

"ORANG LAMA" Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok menerima cenderamata daripada Presiden PAS. 

Dr Daeng Sanusi pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen PAS Rantau Panjang, Kelantan selama dua penggal iaitu 1990 - 1995 dan 1995- 1999.

Penerima anugerah kedua, Allahyarham Prof Dr Mohd Khazani Abdullah, dilahirkan pada 1968 di Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu pada tahun 1981 hingga 1983. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan (1984-1985), Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari University of Missouri, Rolla USA pada tahun 1991 sehingga 1993. Menamatkan Ijazah PhD di Universiti Malaya pada tahun 1999.
Dr Khazani merupakan aktivis PAS semenjak zaman belajar dan merupakan seorang pakar dalam bidang Fiber Optik. Beliau pernah dianugerahkan sebagai Saintis Muda Negara pada tahun 2001, dengan pelbagai sumbangannya dalam bidang Fiber Optik.

Allahyarham antara tenaga pemikir dalam Jemaah PAS bersama-sama dengan Profesor Dr Ahmad Samsuri Mokhtar iaitu pakar aero angkasa Malaysia. Selepas kejatuhan kerajaan PAS Terengganu tahun 2004, beliau lebih serius membantu Tuan Guru Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) membangunkan kembali kekuatan PAS terutamanaya di Terengganu.

Dr Khazani terlibat dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perantau Terengganu dan jawatan terakhir beliau ialah Timbalan Presiden Perantau Terengganu. Allahyarham juga antara pengasas NGO Ilmuan iaitu sebuah wadah yang menghimpunkan para cendikiawan yang mempuyai fikrah Islam.
Manakala, di peringkat kepimpinan PAS Pusat pula, beliau dilantik AJK PAS Pusat untuk sesi 2015-2017, dan menjadi pemikir utama untuk memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Kejayaan beliau juga dengan menjadi pemikir utama dalam PAS di bilik strategic ISP dan badan pemikir PAS ini juga merangka Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) dan merangka ‘road map’ PAS ke arah kejayaan PRU14 lalu.
Tokoh Istiqamah ketiga diberikan kepada Haji Noh Ahmad, 59, berasal dari Pangkor, Perak. Mempunyai seorang isteri, Puan Sepiah Shaharom dan tujuh orang anak. Beliau kini keuzuran kerana diserang penyakit angin ahmar. 
Pendidikan tertingginya, ijazah dalam Pengurusan Pendidikan UPSI. Pengalaman bekerja sebagai Guru dan Guru Besar Sekolah Kerajaan serta telah bersara pada tahun 2015.

Pengalaman dalam PAS iaitu AJK DPP (Dewan Pemuda PAS) Pusat sebagai Pengarah Pasti Pusat pada tahun 80-an dan 90-an. Setiausaha dan Ketua DPP Perak. Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak dan Yang Dipertua (YDP) PAS Lumut.
Anugerah Tokoh Istiqamah keempat, To’ Puan Ustazah Fatimah @ Zainab Ibrahim, 66, yang lahir pada bulan Oktober 1952 di Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu. Beliau anak kedua dari 10 orang adik-beradiknya.

Ustazah Fatimah @ Zainab lebih dikenali dengan panggilan Kak Nab. Beliau merupakan isteri kepada Allahyarham Dato’ Harun Taib dan mempunyai lima orang anak terdiri dari dua lelaki dan tiga perempuan.

Jawatan dalam parti iaitu Ketua Muslimat PAS Negeri Terengganu dari tahun 1997 hingga 2011, Ketua Muslimat PAS Hulu Terengganu (1985-2013), Ketua Muslimat PAS Pusat (2001-2003) dan AJK PAS Pusat (2003-2005).

Selain itu, beliau adalah Pengerusi Persatuan Khairunnisa (2000 hingga 2003), Nazirah UPI Hulu Terengganu (2000-2004), Ahli Lembaga Yayasan Pembangunan Keluarga (YPU) tahun 2000-2004.

Hajah Shopiah Ahmad, 69, pula menerima anugerah Tokoh Istiqamah kelima sempena Muktamar Tahun PAS kali ke-64. Suaminya, Allahyarham Mohd Hussin Paiman. Beliau berasal dari Jasin, Melaka.

Pendidikannya, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1966 serta mendapat Diploma Ilham pada tahun 1998. Pengalaman kerjayanya, Guru Madrasah As-Sunnah Terentang (1970-1985) waktu pagi. Guru Tadika Belia 4B (1970-1975) waktu petang, dan Guru Tadika anjuran Risda dan Kemas dari tahun 1975 hingga 1984.

Pengalaman dalam PAS bermula sebagai Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM) pada tahun 1967-1970. Setiausaha dan Pemangku Naib Ketua DMPNM (1970-1975), Setiausaha dan Pemangku Naib Ketua DMPNM (1975-1980), Timbalan Ketua DMPNM (1980-1984), Ketua DMPNM (1984-2001), Timbalan Ketua DPMNM (2001-2007) dan Naib Ketua DMPNM dari tahun 2008 hingga sekarang.

Manakala, Tokoh Istiqamah keenam diberikan kepada Dr Abu Bakar Abdullah, yang lahir pada 29 Mei 1952 di Kampung Gemuruh, Kuala Nerus. Beliau mula mendapat Pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Kampung Gemuruh pada tahun 1959 hingga 1964. Kemudian ke Sekolah Agama Jamiah Diniah Tok Jiring dan Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abdin, Batu Burok, Kuala Terengganu. Selepas itu melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang (1971) dan menyambung pengajian peingkat Ijazah dan Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1980 dalam bidang Pengajian Islam. 

Ustaz Abu Bakar mendapat Ijazah Sarjana Muda (MA) dengan Kepujian Kelas Kedua Atas serta Diploma Pendidikan pada tahun 1983. Manakala, Ijazah Kedoktoran (PhD) diperolehi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Hasil perkongsian hidup dengan isteri pertamanya, Allahyarhamah Tengku Aminah Tengku Ali dikurniakan seramai 13 orang anak.

Jawatan dalam PAS yang pernah disandangnya sebagai Ketua Pemuda PAS Terengganu, AJK Badan Perhubungan PAS Terengganu, Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, YDP PAS Kawasan Kuala Nerus dan Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Tepoh.

Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kerajaan PAS Terengganu (1999-2004) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh untuk beberapa penggal sebelum ini. Dr Abu Bakar Abdullah kini keuzuran setelah diserang angin ahmar sejak lebih setahun lalu.




Tag: