• 22 Jan 2022 | 18 Jamadil Akhir 1443

Enam Tapak Bina Diarah Tutup Sejak 1 Jun Lalu

KUALA LUMPUR, 13 Julai - Sebanyak enam tapak pembinaan diarah tutup serta-merta di negeri Terengganu sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 1 Jun lalu.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam kenyataan semalam berkata, ia berikutan kegagalan pihak berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Berdasarkan rekod, CIDB menjalankan pemeriksaan membabitkan 4,855 tapak pembinaan di seluruh Malaysia.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 946 (19 peratus) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 3,909 (81 peratus) tidak beroperasi.

"Daripada 946 tapak yang beroperasi, didapati 209 tapak pembinaan (22 peratus) tidak mematuhi SOP, manakala 737 (78 peratus) tapak lagi mematuhi SOP.

"Semua 209 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP berkenaan diarah tutup serta-merta," menurut CIDB.

Bagaimanapun, menurut CIDB, 50 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup dibenar dibuka semula selepas mereka mematuhi SOP ditetapkan.

Daripada 209 tapak pembinaan yang ditutup, katanya, 59 terletak di Sarawak, Selangor (45), Kuala Lumpur (17), Melaka (16), Johor (14), Sabah (13), Pulau Pinang (11), Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing lapan), Terengganu (enam), Perak (empat), Kedah dan Perlis (masing-masing tiga) dan Kelantan, dua.

"Sementara 50 tapak pembinaan yang dibuka semula selepas didapati mematuhi SOP terletak di negeri Sarawak (15), Selangor (9), Melaka (sembilan), Terengganu dan Perak (masing-masing empat), Kuala Lumpur (tiga), Johor (dua) dan masing-masing satu di Kelantan, Sabah, Pulau Pinang serta Kedah," ujarnya.

Semalam sahaja, CIDB memaklumkan empat tapak pembinaan di Sarawak dan satu di Sabah diarah ditutup.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada keputusan saringan Covid-19 pekerja, gagal mempamerkan permit sementara bangunan (rumah kongsi/penempatan pekerja/asrama/CLQ) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di tapak bina, gagal mempamerkan MySejahtera dan gagal mengemukakan senarai nama kehadiran serta semakan suhu pekerja.

Kesalahan lain, jumlah pekerja di tapak pembinaan melebihi 60 peratus seperti dibenarkan dalam SOP PPN.


Tag: