• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Enam Teras, 60 Strategi Dan 130 Program Dalam Pelan Strategik Pertanian


 KUALA TERENGGANU, 27 September - Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu yang dirangka untuk tempoh lima tahun bermula tahun 2019 hingga 2023 mengandungi enam teras strategik, 60 strategi dan 130 program.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pelan tersebut melibatkan golongan sasar dalam industri pertanian yang terdiri daripada rakyat awam .

“Golongon belia yang bakal memacu tampuk pemerintahan, persatuan, koperasi, syarikat-syarikat, pelabur, GLC dan yang berkenaan yang mana golongan ini adalah amat penting dalam merealisasikan usaha pelan strategik halatuju pertanian terengganu 2019 – 2023.

“Pelan strategik yang dirangka ini adalah kemas, lengkap dan dapat dijadikan rujukan akademik dan oleh semua pihak yang terlibat dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika berucap dalam Program Hari Penternak, Peladang  dan Nelayan negeri Terengganu 2019 di Dataran Pekan Jabi, disini, semalam.

Oleh itu , menurutnya pelan tersebut yang telah dilancarkan pada 4 ogos yang lalu telah pun melalui fasa pertama iaitu fasa pemulihan semua kemudahan dan infrastruktur pertanian dan industri asas tani yang telah sedia ada

“Strategi (yang) kedua ialah fasa menyenarai dan mengemaskini semula status tanah-tanah kerajaan yang dirizabkan dan diwartakan di bawah seksyen 62 kanun tanah negara (ktn) bagi tujuan pertanian, perikanan dan penternakan.

“Strategi ketiga pula. fasa memanfaatkan tanah-tanah kosong serta memperkayakan sumber perikanan dan penternakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yakin ramai pengunjung yang akan mengambil peluang dalam industri tani  di samping berkongsi idea sepanjang  empat hari sambutan hari Peladang, Penternak dan Nelayan tersebut.

“Di samping memberi manfaat kepada mereka yang mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian.

“Kita juga berhasrat melahirkan ‘agropreneur’ muda supaya masyarakat peladang, penternak dan nelayan berjaya menukar minda tradisional kepada lebih moden.

“Dengan mempraktikkan amalan pertanian baik dengan teknologi terkini yang merupakan kunci kejayaan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan berpendapatan tinggi,” tambah beliau.













Tag: