Oleh : Syahida Mohd
KUALA NERUS, 13 Januari – Keprihatinan terhadap kebajikan golongan warga emas terus diberi perhatian apabila Ahli Parlimen Kuala Nerus meluangkan masa menyantuni enam individu uzur dan uzur sakit menerusi Program Ziarah Cakna yang berlangsung di Kampung Bukit Tumbuh dan Kampung Banggol Pauh, baru-baru ini.
Program ziarah berkenaan dimulakan dengan sesi santai sarapan pagi bersama penduduk setempat di sebuah warung di Bukit Tumbuh sebelum rombongan bergerak ke beberapa buah kediaman terpilih bagi menziarahi warga emas yang sedang diuji dengan masalah kesihatan dan keuzuran.
Sepanjang lawatan, Dato' Dr. Aliad Razak mengambil kesempatan mendengar sendiri keluhan, keperluan serta perkembangan tahap kesihatan setiap individu yang diziarahi.
Beliau turut menyampaikan kata-kata perangsang serta sokongan moral agar mereka dan ahli keluarga terus tabah serta berlapang dada menghadapi ujian kehidupan.
Menurut beliau, setiap ujian yang ditentukan oleh Allah SWT pasti mempunyai hikmah tersendiri dan menuntut kesabaran serta ketabahan daripada mereka yang diuji.
“Saya mendoakan agar semua warga emas yang sedang berdepan ujian kesihatan diberikan kesembuhan, kekuatan dan ketenangan jiwa. Sokongan keluarga dan masyarakat amat penting bagi memastikan mereka terus bersemangat menjalani kehidupan seharian,” katanya.
Tinjauan mendapati suasana ziarah berlangsung dalam keadaan penuh mesra, sopan dan beradab.
Ahli keluarga yang diziarahi turut menzahirkan rasa terharu serta penghargaan atas kehadiran wakil rakyat yang sanggup turun padang bagi menyantuni golongan memerlukan di peringkat akar umbi.
Program Ziarah Cakna ini merupakan sebahagian daripada pendekatan khidmat masyarakat berterusan Ahli Parlimen Kuala Nerus dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, khususnya melibatkan golongan warga emas, uzur dan mereka yang memerlukan sokongan moral serta perhatian berterusan.
Pendekatan ziarah secara langsung ini dilihat bukan sahaja mampu merapatkan hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat, malah memperkukuh nilai kemanusiaan, empati dan budaya prihatin dalam komuniti setempat.
