• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

EPIC Anjur Kursus Kulinari Bantu Ibu Tunggal

KUALA TERENGGANU, 1 Mac- Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dengan kerjasama Kolej Komuniti Kuala Terengganu telah menganjurkan Kursus Kulinari bersama ibu tunggal dan suri rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok, baru-baru ini.

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan Kumpulan EPIC, Rusdi Ngah berkata, kursus dua hari berakhir 27 Februari lalu yang diadakan Kolej Komuniti Kuala Terengganu itu merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah inisiatif ‘EPIC Cakna Prihatin 2023’.

Katanya,  kursus tersebut berjaya mengumpulkan 20 peserta yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah berpendapatan rendah dari DUN berkenaan.

“Para peserta diberikan tunjuk ajar secara praktikal bagi penyediaan aneka kuih raya dan kuih talam oleh tenaga pengajar berpengalaman. 

“Selain perkongsian tips penyediaan kuih muih, mereka turut diberikan panduan bagi memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,” ujarnya ketika berucap di majlis penutup program tersebut.

Tambah beliau, pihak syarikat sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan perkembangan golongan yang memerlukan, justeru mendorong kepada penganjuran program dengan mekanisma yang boleh memberikan impak jangka panjang terutamanya dalam menjana pendapatan.

 “Kami berhasrat untuk menyokong pembangunan ekonomi ibu tunggal dan juga suri rumah dari kalangan keluarga dengan pendapatan isi rumah yang rendah.

“Konsep program kali ini juga agak berbeza dan lebih mampan iaitu dengan meningkatkan kemahiran melalui kursus kulinari sekaligus membuka peluang untuk peserta menjana pendapatan tambahan.

“Semoga penganjuran kursus ini dapat menggalakkan nilai keusahawanan dan memberikan inspirasi kepada peserta untuk mencipta pekerjaan suatu hari nanti, sekaligus memberi sumber pendapatan kepada orang lain,” ujar Rusdi.

Menurut beliau, para peserta akan mendapat khidmat nasihat dan pantauan selama enam bulan setelah kursus berakhir bagi memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan dalam mengaplikasikan ilmu yang dipelajari.


Tag: