KUALA TERENGGANU, 16 November – Gelak tawa dan keriuhan anak-anak autisme menceriakan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu hari ini apabila EPIC Berhad turun padang meraikan kira-kira 30 peserta cilik melalui program EPIC Raikan Senyuman 2025.
Pengurus Besar Komunikasi Korporat & HSSEQ EPIC Berhad, Rusdi Ngah, berkata program yang penuh warna-warni itu bukan sekadar hiburan, malah sarat dengan aktiviti rangsangan deria, permainan berstruktur dan sesi bimbingan ringan yang direka khas untuk membantu perkembangan komunikasi serta kemahiran motor anak-anak istimewa berkenaan.
Menurutnya, program itu memberi impak besar kepada kedua-dua pihak iaitu peserta dan sukarelawan.
“Kami amat berbesar hati dapat bersama anak-anak istimewa ini. Sukarelawan kami dapat belajar secara dekat mengenai autisme, pendekatan pembelajaran serta cabaran yang dihadapi anak dan penjaga.
“Ia benar-benar membuka mata dan mengukuhkan komitmen kami,” katanya ketika ditemui di pusat tersebut di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada pusat tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha berterusan mereka menyediakan suasana pembelajaran kondusif untuk anak-anak autisme.
“Epic berharap untuk meneruskan kerjasama dengan lebih banyak program akan datang, terutama dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai autisme dan membantu keluarga serta penjaga,” ujarnya lagi.
“Semua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM2.8 juta CSR EPIC Berhad tahun ini yang memberi fokus kepada pendidikan, kebajikan komuniti, sukan, pembangunan sosial dan bantuan kemanusiaan.” jelas Rusdi.