lightning-solid
Berita :
Epic Penaja Utama TSG
Epic Penaja Utama TSG
Noraini Jusoh
3 jam yang lepas
70

KUALA TERENGGANU, 22 Januari – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) terus menyokong pembangunan industri sukan tempatan apabila sekali lagi tampil sebagai penaja utama skuad gergasi basikal tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) bagi menghadapi persaingan musim baharu. 

Tajaan bagi musim 2026 mencerminkan keyakinan syarikat terhadap keupayaan pasukan TSG dalam mengekalkan momentum prestasi cemerlang, di samping terus mengharumkan nama Negeri Terengganu dan Malaysia di pentas antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, peningkatan nilai tajaan tersebut selari dengan prestasi konsisten dan cemerlang yang ditampilkan oleh TSG, khususnya dalam mengekalkan momentum kejayaan di pentas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).  
 
“Tajaan EPIC Berhad bagi musim ini mencerminkan keyakinan terhadap pencapaian dan kebolehan pasukan TSG dalam mengekalkan momentum kecemerlangan serta keupayaan mereka untuk terus mendominasi perlumbaan dalam siri UCI. 

“Pada masa yang sama, ia merupakan komitmen syarikat dalam menyokong persiapan dan pembangunan skuad gergasi perlumbaan basikal tempatan dalam menempuhi persaingan di peringkat benua dan global,” ujarnya dalam satu kenyataan.

IMG-20260122-WA0006.jpg 248.72 KB

Terdahulu, beliau telah menyerahkan tajaan tersebut pada Majlis Memperkenalkan Pasukan Terengganu Cycling Team 2026 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim di Primula Beach Hotel.

Mengulas lanjut Muhtar memaklumkan, EPIC Berhad yakin tajaan ini bukan sahaja dapat menyokong kesinambungan prestasi cemerlang TSG, malah menyumbang kepada pembangunan ekosistem sukan berprestasi tinggi, selaras dengan nilai kecemerlangan, disiplin dan daya saing yang menjadi teras kepada budaya korporat syarikat. 

“Dengan gabungan barisan pelumba berpengalaman dan baharu, syarikat juga optimis serta teruja menantikan pencapaian TSG dalam mengharungi siri perlumbaan musim ini, khususnya dalam usaha mendaki kedudukan dunia UCI,” ujarnya.

Untuk rekod, sejak penubuhannya pada tahun 2011, TSG telah meraih pelbagai kejayaan termasuk muncul sebagai Juara Dunia Pasukan Benua (UCI Continental Team – World Ranking) sebanyak empat kali, Juara Asia (UCI Asia Tour Ranking) sebanyak enam kali, selain meraih kedudukan Naib Juara Asia sekali dan tempat ketiga Asia sebanyak dua kali.  
 
Bagi musim 2025, TSG mencatatkan prestasi begitu memberangsangkan dalam siri kedudukan UCI apabila menduduki kedudukan ke-3 daripada 51 pasukan dalam UCI Asia Tour Ranking, kedudukan ke-5 daripada 171 pasukan dalam UCI Continental Team Ranking, serta kedudukan ke-37 daripada 206 pasukan dalam UCI World Ranking. 

Sepanjang musim tersebut, TSG berjaya mengumpul 1,326.67 mata UCI, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pasukan berbasikal terbaik di rantau ini. Pencapaian cemerlang ini membuktikan keupayaan TSG untuk bersaing secara konsisten dan mendominasi perlumbaan di peringkat benua dan antarabangsa.  



Tag :

Artikel Berkaitan