lightning-solid
Berita :
EPIC Perluas Agenda Tenaga Hijau, Laksana Projek Solar Pertama di Johor
EPIC Perluas Agenda Tenaga Hijau, Laksana Projek Solar Pertama di Johor
Mastura Jamal Din
13 jam yang lepas
119

KUALA TERENGGANU, 14 Januari -  Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPPSB), memeterai perjanjian kerjasama strategik bersama Advantage Marine Services (Malaysia) Sdn Bhd (AMS) bagi melaksanakan projek tenaga solar di Gelang Patah, Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, EPPSB dilantik sebagai penyedia utama infrastruktur sistem Solar Fotovoltaik (PV) bagi kemudahan gudang dan limbungan AMS.

Menurut beliau, projek itu melibatkan pemasangan sistem Solar PV atas bumbung berkapasiti 74.4 kilowatt peak (kWp) di bawah skim Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) yang dijadualkan bermula awal Februari 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 40 hari.

 “Skop pelaksanaan merangkumi fasa reka bentuk sistem, perolehan bahan, pemasangan, pengujian serta pentauliahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

WhatsApp Image 2026-01-14 at 11.36.31 AM.jpeg 471.35 KB
Majlis pemeteraian perjanjian itu disempurnakan oleh Dr. Ts. Muhtar Suhaili bersama Pengarah Urusan AMS, Andrew Teow  yang turut dihadiri Ketua Syarikat EPPSB, Azman Muda serta Pengarah AMS, Victor Wong.

 Dr. Ts. Muhtar berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan EPIC dalam merancakkan pertumbuhan perniagaan syarikat di samping menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah penggunaan tenaga boleh baharu.

Katanya, projek berkenaan bukan sahaja membuka peluang kepada EPIC untuk menembusi pasaran Wilayah Selatan khususnya Johor, malah menjadi pemangkin kepada usaha membantu rakan industri meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan jejak karbon operasi.

Tambah beliau, projek tersebut merupakan projek pertama EPPSB di Johor dan menandakan langkah strategik syarikat dalam memperluaskan penawaran perkhidmatan penyelesaian tenaga boleh baharu di peringkat nasional.

Dalam pada itu, Dr. Ts. Muhtar memaklumkan bahawa EPPSB telah memperoleh lesen dan berdaftar sebagai Registered PV Service Provider (RPVSP) serta Registered PV Investor (RPVI) di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia.

Katanya, EPIC menerusi EPPSB akan terus memperluaskan kerjasama strategik bersama rakan industri bagi menyokong pembangunan ekosistem tenaga bersih yang mampan, berdaya saing dan selari dengan aspirasi negara ke arah ekonomi rendah karbon.


Tag :

Artikel Berkaitan