• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

EPIC Terus Kempen Penanaman 100 Juta Pokok

KEMAMAN, 29 Oktober - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad atau Kumpulan EPIC) menerusi anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) meneruskan sokongan kempen penanaman 100 juta pokok peringkat negeri.

Semalam anak syarikat EPIC itu telah menganjurkan program 'KPK Grow Grenn 2023- Tree Planting at East Whart' yang turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan melalui program berkenaan sebanyak 300 anak pokok spesies 'Kelat Paya' tetah ditanam di lokasi yang ditetapkan dengan bantuan 100 sukarelawan syarikat.

Pengurus Besar KPKSB, Ashari Mohamad berkata program berkenaan juga diadakan bagi meningkatkan kawasan liputan hijau di sekiutar Dermaga Timur kelolaan anak syarikat tersebut.

"Ia mencerminkan komitmen yang digalas bersama bagi merealisasikan aspirasi EPIC Berhad untuk mentransformasi pengoperasian dan pembangunan Pelabuhan Kemaman ke arah menjadikannya sebuah pelabuhan hijau," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program berkenaan yang diadakan di Dermaga Timur Pelabuhan Kemaman, semalam.

Turut hadir, Pengerusi KPKSB, Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim.

Dalam pada itu, Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata pihaknya menyambut baik usaha yang dijalankan syarikat bagi mewujudkan lebih banyak kawasan liputan hijau sekali gus memupuk kesedaran akan tanggungjawab memelihara alam sekitar yang perlu digalas semua pihak.

"Dalam menjalankan perniagaan secara lestari dan mampan, kita bukanlah sekadar mencari keuntungan semata-mata, tetapi juga menyumbang tenaga dan usaha demi menjaga khazanah alam yang tidak ternilai harganya," ujar Amzad.