• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

E-Sukan Kegilaan Ramai, Urus Waktu Agar Tidak Leka

SETIU, 19 Februari– Fenomena sukan elektronik e-sukan pada masa kini menjadi kegilaan ramai khususnya anak-anak muda di negara ini yang dilihat semakin berkembang pesat seiring dengan kebangkitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata perkembangan itu tidak menjadi masalah kerana ia berupaya menjadi aktiviti yang sihat kepada remaja pada masa kini namun pengurusan waktu sangat penting agar tidak membawa kepada kelekaan sehingga mengabaikan perkara wajib.

“Bermain tidak mengapa, tidak menjadi kesalahan cuma jangan sampai mengabaikan hubungan dan urusan kekeluargaan, terlalu leka bermain sebagai contoh, akibat sibuk bermain permainan elektronik ini sehingga malas dalam menolong ibubapa di rumah. 

"Juga jangan sampai tahap meninggalkan dan melewatkan solat akibat sibuk bermain permainan ini,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang di Pertandingan E-Sport PUBG Tertutup DUN Permaisuri yang bertempat di Dewan Majlis Daerah Setiu Sg Tarom.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar teknologi baharu yang ada hari ini telah memudahkan rakyat untuk mencapai ilmu pengetahuan hanya dihujung jari segala maklumat akan didapati.

“ Namun peranan kita sebagai pengguna perlu menyelidik  dahulu segala maklumat dan berita yang diterima dan jangan menyebar maklumat yang berunsur fitnah yang kita tidak tahu akan kepastianya.

“Gunakan teknologi baru hari ini untuk perkara yang memanfaatkan kita supaya tidak menjadi mudarat kita didunia dan di akhirat,"ujarnya


Tag: