• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

ExxonMobil Serah Sumbangan, Tunai CSR Untuk Sektor Kesihatan Dan Pendidikan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 17 Jun - ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (ExxonMobil) terus menunaikan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikatnya dengan menyerahkan sumbangan kepada beberapa agensi di bawah sektor kesihatan dan pendidikan Terengganu.

Pada Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Program CSR Exxonmobil yang berlangsung di Wisma Darul Iman hari ini, ExxonMobil yang diwakili Pengerusi dan Presiden, Subsidiari-subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Edward Graham telah menyerahkan ‘mock check’ kepada kerajaan negeri yang diwakili Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum disampaikan kepada para penerima.

Di majlis itu, ExxonMobil menyumbang sebanyak RM130,000 untuk pembelian peralatan perubatan aset kritikal rawatan COVID-19 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang diwakili Pengarahnya, Dr. Nor Azimi Yunus.

Sementara RM17,000 disumbangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) yang diwakili Pengarahnya, Salim Ab Ghani untuk Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu dan sebanyak RM30,000 untuk Program Anugerah Pelajar Cemerlang STEM ExxonMobil serta sepuluh unit laptop untuk English Theme Parks di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Kemasik.

Selain itu, sebanyak RM75,000 juga disumbangkan kepada Pengarah JPNT bersama wakil UKM untuk program ExxonMobil-UKM STEM Club Teachers (Secondary Schools) Training Programme, dan jumlah yang sama untuk program ExxonMobil-UM STEM Teachers (Primary Schools) Training Programme juga kepada Pengarah JPNT bersama wakil UM.

Sebanyak RM10,000 pula disumbangkan kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu bagi Program Kesedaran Dan Pendidikan Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri serta 25 unit laptop untuk Perpustakaan Negeri dan empat Perpustakaan Daerah melibatkan Hulu Terengganu, Jerteh, Dungun dan Chendering.


Tag: