• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

FAM Minta FMLLP Kaji Semula Jadual Perlawanan Musim Depan - TMJ


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) supaya mengkaji semula kepadatan jadual perlawanan liga Malaysia (Liga-M) musim ini supaya pemain dan pasukan tidak dibelenggu isu yang sama pada musim depan.

Presidennya, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, FAM tidak mahu masalah berulang pada masa depan apabila sesetengah pasukan negeri sukar untuk melepaskan pemain menyertai skuad kebangsaan akibat kepadatan jadual perlawanan.


"Pihak FMLLP  diminta kaji semula jadual pertandingan-pertandingan kita supaya memberi lebih ruang kepada pasukan kebangsaan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Kedua EksekutifFAM Sesi 2017 di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat bersama delegasi FAM yang lain.

TMJ menambah, selain FMLLP perbincangan berkaitan penyusunan semula jadual perlawanan itu juga akan melibatkan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) bagi memberi ruang dan masa kepada pasukan kebangsaan yang menjadi keutamaan FAM.


Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat pada kali ini turut membincangkan inisiatif  untuk mendapat penajaan berikutan kekangan sumber kewangan yang dihadapi badan induk bola sepak negara itu.

"Menerusi pengarah teknikal yang baru, sepertimana yang semua tahu FAM tiada duit, jadi kita berbincang untuk mendapatkan penajaan dengan Astro dan sesetengah syarikat berkaitan supaya dapat membantu setiap pasukan yang bertanding dalam liga tempatan,"katanya lagi.





Tag: