• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Felcra Berhad Peruntuk RM250 Ribu Kepada 509 Mangsa Banjir



Felcra Berhad memperuntukan RM250,000 kepada 509 mangsa banjir di kalangan pesertanya di Terengganu yang terlibat bencana itu, baru-baru ini.

Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Timur, Saifuddin Omar berkata, peruntukan khas itu melibatkan 16 kawasan Felcra bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung mangsa terutamanya kesan selepas banjir.

Katanya lagi, daripada jumlah peruntukan tersebut, RM3,000 telah digunakan untuk membeli dua unit bot di Terengganu sebelum banjir bagi kegunaan untuk menyelamat mangsa di kawasan yang terlibat.

"Selebihnya kita gunakan untuk bantu selepas banjir dan ini menunjukkan Felcra tidak akan abaikan kepentingan pesertanya terutama dalam menjaga kepentingan rakyat kurang berkemampuan.

“Semua jenis bantuan ini bertujuan membela nasib pekebun kecil yang terjejas supaya mereka kembali bangkit mengusahakan kebun masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Banjir 2016/2017 Peserta-Peserta Felcra Berhad Bukit Kesing di Dewan Sri Putih,Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu, hari ini.

Seramai 272 orang peserta Felcra Berhad menerima bantuan pasca  banjir berbentuk wang tunai dan barangan keperluan bernilai RM300 setiap seorang.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata Felcra Berhad menanggung kerugian bernilai lebih RM6.7 juta apabila tanaman padi dan kelapa sawit di 16 kawasan Felcra musnah berikutan banjir di negeri ini.

"Kita sudah menghantar semua maklumat yang berkaitan dengan kerugian kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi mendapatkan pampasan," katanya.

Wan Bakar Wan Endut


Seorang peserta Felcra Bukit Kesing 2,Wan Bakar Wan Endut,63,berkata beliau terpaksa menanggung kerugian apabila kelapa sawit yang ditanam di tanah seluas lima ekar rosak sewaktu banjir melanda baru-baru ini.

"Semasa banjir baru-baru ini, 500 anak pokok sawit berusia empat tahun musnah akibat ditenggelami air. Sepatutnya pak cik dapat menikmati hasil dalam masa tiga tahun lagi,

"Pak cik rugi dalam RM100,000 dari segi modal seperti baja, meracun, upah bersih kawasan termasuk anak pokok sawit", katanya.

Wan Bakar berharap pampasan untuk kerugian diperolehi dengan segera bagi membolehkannya memulakan semula tanaman itu.

Tag: