KUALA TERENGGANU, 16 September - Penganjuran Festival 'Musing Ketang' berjaya memperkenalkan budaya dan tradisi Terengganu kepada pengunjung serta pelancong luar.
Timbalan Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata inisiatif itu bakal menyemarakkan kembali jati diri dalam kalangan masyarakat Terengganu khususnya generasi muda.
Katanya, Musing Ketang merupakan dialek Terengganu yang membawa maksud berjalan ke hulu ke hilir dalam suatu tempat, ia bagi menjelaskan situasi pengunjung untuk berjalan-jalan di tapak acara ini.
“Pelbagai aktiviti yang terdapat di sini antaranya demonstrasi pembuatan tikar kercut, ukiran tembaga, pembuatan replika bot tradisional, wau dan lukisan batik yang menjadi identiti masyarakat Terengganu.
“Program Musing Ketang yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 September ini bertempat di Kampung Budaya Terengganu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Musing Ketang bertempat di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium, Bukit Losong di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.
Tambah Sulaiman, jumlah pengunjung yang dianggarkan bakal hadir selama tiga hari festival berlangsung adalah seramai 10,000 orang dari seluruh negara sempena hari minggu dan cuti hari Malaysia, 16 September.
“Pelbagai pertandingan juga disediakan buat pengunjung seperti pertandingan Ratu Cilik Kebaya, Wira Cilik Pendekar, Gasing Pangkah dan Musing Ketang Treasure Hunt.
“Program ini juga dapat meningkatkan sumber pendapatan kepada agensi pelancongan dan perhotelan serta pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Terengganu.
“Jualan makanan tradisional juga antara tarikan utama pengunjung ke festival ini,” ujarnya.
Beliau berharap, orang ramai terutamanya masyarakat setempat tidak melepaskan peluang untuk hadir ke festival Musing Ketang ini dan merasai sendiri pengalaman luar biasa yang disediakan oleh penganjur.