• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Festival Sedaya Vintage Dungun 2.0 Bakal Gegarkan Bandar Dungun

DUNGUN, 16 Mac- Penganjuran Festival Seni, Dakwah dan Budaya (Sedaya) Vintage Dungun 2.0 pada 17 hingga 19 Mac ini dijangka akan menggegarkan warga Dungun dengan menyediakan pelbagai aktiviti dan acara menarik untuk semua lapisan masyarakat.

Pengarah program, Dr. Tengku Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, bertemakan "Gallok gallok jugok, semayang jangan lupe”, festival tersebut mengajak masyarakat berhibur dengan hiburan yang sihat. 

"Antara aktiviti yang disediakan untuk para pengunjung termasuk liga penalti, nyanyian dakwah, ayam ratu, mewarna, puding berhias, doodle dan explore race serta hadiah hadiah yang menarik menanti semua.

"Kita juga menampilkan 'otai' rock, Ramli Sarip, yang dibawa dari Singapura untuk mengubat kerinduan peminatnya dengan lagu - lagu berunsur nasihat dan ketuhanan, pada 19 Mac jam 9 malam bertempat di Dewan Arena Merdeka, disini.

"Juga 'otai - otai' dari seluruh Malaysia antaranya Yen SK, Hatu Guni, Piji LOKIEN dan ramai lagi serta tidak ketinggalan kumpulan - kumpulan nasyid kesayangan ramai, " jelasnya ketika dihubungi. 

Menurutnya, program anjuran bersama Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Daerah Dungun dan TDM Berhad  itu merupakan program anjuran GLC) itu di setiap daerah di Terengganu, tetapi di Dungun ada sedikit kelainan.

"Hasil perbincangan bersama program yang sepatutnya hanya sehari di daerah lain tetapi di Dungun, kita adakan selama tiga hari," jelasnya.

Disamping itu, tambahnya lagi, sempena festival terbesar itu, banyak peluang untuk menjana pendapatan disediakan kepada warga tempatan dan juga bagi sesiapa yang berminat untuk membuka gerai-gerai perniagaan.


Tag: