• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Festival Wau Meriah, Gamit Suasana Kampung

HULU TERENGGANU, 15 Mei - Festival Wau Kampung Gaung di sini berlangsung dengan cukup meriah dan merekodkan lebih 50 penyertaan sekali gus menggamit suasana kampung.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata seramai 54 orang peserta mengambil bahagian dalam pelbagai kategori dalam penganjuran berkenaan.

"Penyertaan masyarakat sebagai peserta dalam festival ini sangat menggalakkan. Satu penyertaan boleh masuk dua atau tiga kategori tapi satu wau hanya untuk satu kategori sahaja.

"Dalam syarat permainan, saiz Wau Bulan antara empat hingga lima kaki manakala Wau Barat pula tiga kaki naik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan perasmian pada hari pertama dengan menaikkan Wau Barat di Padang Bola Kg Gaung 12 mei baru-baru ini.


Menurut Penganjur, Badrul Hisham Mamat yang merupakan Pengerusi JPKK Kg Gaung, sudah lebih 20 tahun permainan wau ini tidak diadakan di Kampung ini.

"Kali terakhir festival wau di kampung ini diadakan pada tahun 90-an. Oleh kerana ramai orang muda yang semakin minat dengan wau, maka kami telah berbincang dan akhirnya festival ini berjaya dibuat.

"Saya berharap tahun depan kita akan adakan lagi penganjuran festival wau ini dan berharap agar lebih ramai lagi penyertaan daripada masyarakat setempat," jelasnya.


Tag: