• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

"Fikir Dahulu Sebelum Minta Cerai" – JHEAT

KUALA TERENGGANU, 16 Mei – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah memberi nasihat kepada para isteri agar mempertimbangkan dengan matang sebelum membuat keputusan untuk meminta cerai. 

Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT, Moktar Salleh berkata, kematangan berfikir mampu mencegah peningkatan kadar perceraian dalam masyarakat. 

Menurutnya, JHEAT menekankan bahawa meminta cerai sepatutnya menjadi langkah terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki hubungan suami isteri telah dilakukan.

"Hal ini penting kerana kesan perceraian tidak hanya melibatkan pasangan itu sendiri, tetapi juga keluarga dan anak-anak mereka.

“Hubungan perkahwinan adalah perjuangan dan amanah yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab oleh suami dan isteri," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) bertempat di tingkat bawah, Bahagian Unit Undang-Undang Keluarga JHEAT, kelmarin.

Tambah Moktar Salleh, beliau mengingatkan bahawa Allah SWT memandang serius terhadap perkara tersebut, dan meminta para isteri untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik sebelum memutuskan untuk meminta cerai.

Tambahnya, JHEAT juga menyediakan perkhidmatan kaunseling dan bimbingan perkahwinan bagi pasangan yang menghadapi masalah dalam perkahwinan mereka. 

Pihaknya berharap, dengan kaunseling yang disediakan dapat membantu pasangan menyelesaikan konflik dan memperbaiki hubungan mereka, serta mencegah terjadinya perceraian.

Moktar berkata berdasarkan rekod, pasangan yang berusia di atas 30 tahun, terdapat kecenderungan yang signifikan untuk mengakhiri pernikahan dengan talak tiga.

"Fenomena ini menunjukkan bahawa dalam kelompok usia tersebut, perceraian talak tiga lebih kerap berlaku.

"Untuk mencari punca trend ini terjadi, penting untuk memahami dengan lebih mendalam faktor-faktor yang mempengaruhi kestabilan perkahwinan pada usia tersebut," katanya.

Beliau berkata, JHEAT juga mengingatkan masyarakat agar memberi sokongan moral kepada pasangan yang sedang menghadapi masalah rumah tangga, dan menggalakkan mereka untuk mencari penyelesaian secara bersama-sama.

Dengan itu, diharapkan kadar perceraian dapat dikurangkan, dan masyarakat dapat hidup dalam suasana harmoni dan kebahagiaan yang berkekalan.


Tag: