• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Filem Pulau Disekat Kerana Langgar Batasan Islam

KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Filem Pulau disekat daripada ditayangkan di pawagam seluruh negeri ini kerana mempunyai kandungan yang dilihat dalam 'trailer' telah melebihi batasan dalam agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan pelaksanaan syariah di atas kaedah 'Ma La Yudraku Kulluhu La Yutraku Jalluhu’ iaitu apa yang tidak boleh diraih semuanya, tidak boleh ditinggalkan semuanya.

Katanya, dalam konteks memberi kelulusan filem untuk ditayangkan bukan dalam bidang kuasa negeri melainkan bidang kuasa federal.

“Namun, kerajaan negeri mempunyai kuasa bagi menghalang filem terbabit untuk ditayangkan di pawagam yang ada dalam negeri Terengganu.

“Perlu difahami bahawa Islam tidak menghalang untuk kita berhibur,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Bicara Isu Semasa bertempat di Studio TV Darul Iman di sini hari ini.

Tambah Dr Khalil, Islam adalah agama fitrah yang sesuai dengan kejadian manusia yang suka kepada hiburan.

Oleh itu, Islam mendidik kita supaya berhibur dengan panduan dan cara yang betul serta tidak bercanggah dengan landasan Islam.

“Pelik bagi saya beberapa pihak yang mengambil pendekatan membuat filem yang seolah-olah berkiblatkan kepada barat.

“Justeru, sehingga boleh menyebabkan kontroversi sekali gus boleh merosakkannya minda generasi pada masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata, terdapat banyak filem kualiti yang tidak perlu kepada unsur yang meniru barat seperti filem Mat Kilau pada tahun 2022 yang menjadi sejarah dalam negara kita.

“Bahkan banyak lagi filem-filem lain mendapat tempat di luar negara yang menceritakan tentang budaya masyarakat dan negara masing-masing,” ujarnya.

Beliau berharap, karyawan seni di negeri ini dapat membuat filem tanpa meniru budaya dan gaya hidup barat kerana tidak sesuai dengan masyarakat kita.

 


Tag: