• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

'Floating Market' Berhampiran 'Drawbrigde' Dijangka Tahun Depan - MB

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ( tengah) ketika diwawancara media di Jalan Sultan Omar semalam.
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Kerajaan negeri akan membina 'pasar terapung' (floating market) berhampiran 'drawbridge' sebagai satu ikon pelancongan baharu di negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pasar terapung yang dijangka dibina berhampiran Muara Sungai Terengganu adalah kesinambungan kepada pusat pelancongan sedia ada  termasuk Taman Tamadun Islam (TTI) dan jambatan angkat tersebut.

Katanya, kerajaan negeri mengambil kira beberapa model 'floating market' dari negeri Kelantan dan Hatyai, Thailand untuk disesuaikan dengan negeri Terengganu.

Tambahnya, kerajaan negeri juga sedang mengkaji kesesuaian tempat untuk pasar berkenaan supaya para peniaga dan orang ramai mendapat keselesaan sewajarnya di samping menjadi daya tarikan baharu pelancong ke negeri Terengganu.

Katanya, kemungkinan besar pasar terapung itu akan diadakan tahun hadapan bergantung kepada hasil kajian tersebut.

"Tarikh sebenar pasar itu, kerajaan tidak boleh umumkan kerana kajian belum selesai dibuat," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung dengan perkara tersebut di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Terengganu di Jalan Sultan Omar, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman.


Tag: