• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

"Fokus Beri Pancing Dan Umpan, Bukan Ikan" - Dr Azman

SETIU, 12 Januari – Kerajaan negeri memfokuskan strategi menyediakan ‘pancing dan umpan’ (input dan peralatan pertanian) buat warga tani berbanding memberi ‘ikan’ sebagai salah satu cara mengeluarkan rakyat Terengganu daripada kadar kemiskinan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, setiap program dijalankan oleh pihaknya dalam Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023 menyasarkan sekurang-kurangnya golongan tani berpendapatan RM3,000 ke atas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim bersama Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh menyantuni penerima Pakej Rangsangan Ekonomi Nanas

“Kita ingin rakyat kita berdikari dan berusaha, terdahulu pelbagai program dan bantuan daripada Kerajaan Negeri dari Januari hingga November tahun lepas telah memberi manfaat kepada sejumlah 5,949 orang warga tani dengan nilai RM3 juta.

“Suntingan daripada peralatan dan jentera sehingga biji-biji benih telah diagihkan tahun lepas dan kita cuba elakkan bantuan ikan kerana ia meletakkan rakyat sentiasa mengharapkan bantuan jangka masa pendek dihantar ke rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Nanas Kepada Pengusaha Nanas Terengganu di Lembaga Perindustrian Nanas, Sg. Tong, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh berkata, pihaknya mendapati 90 peratus pengusaha nanas yang dilahirkan hasil Lembaga Pembangunan Nanas Malaysia (LPNM), berjaya memperoleh purata pendapatan RM5,000 sebulan.

“Data diperoleh daripada hasil satu kajian impak melibatkan 1,500 pengusaha nanas, di seluruh negara membuktikan hasil mereka keluar dari kategori kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40),

"Setiap tahun, kita telah membangunkan 1,000 pengusaha nanas dan sepanjang tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kita berjaya membangunkan 5,000 pengusaha tanaman itu,” jelasnya.