• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Food Bank Bantu 50 Penduduk Terjejas Banjir

DUNGUN, 3 Januari - Seramai 50 penduduk di Kampung Serdang mendapat manfaat daripada Program Misi Bantuan 'Food Bank'  Pasca Banjir Zon Pantai Timur hasil sumbangan pelbagai syarikat yang dermawan. 

Ketua Penolong Pengarah Sekretariat Perdagangan, Pengedaran dan Industri Perkhidmatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) , Muslihun Yusof berkata 'Food Bank' Malaysia adalah inisiatif KPDNHEP yang telah bermula sejak dua tahun lalu. 

"Inisiatif ini diambil untuk meringankan beban kos sara hidup kumpulan sasar dengan mengagihkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh Malaysia,"  katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Program Misi Bantuan 'Food Bank' Pasca Banjir Zon Pantai Timur yang diadakan di perkarangan Masjid Kampung Serdang di sini, baru-baru ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu turut dihadiri Timbalan Pengarah, KPDNHEP Negeri Terengganu, Nor Azmi Lasmiza.

Seorang warga emas, Wan Nik Wan Ahmad, 78, melahirkan rasa syukur kerana dipilih untuk menerima bantuan berkenaan. 

"Rumah mak cik dah tiga kali banjir, tapi tidak dapat bantuan sebab mak cik tak mahu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sebab biasa yang dapat orang yang berpindah je, Alhamdulillah, MPKK masukkan nama mak cik, dapatlah mak cik merasa," kata Mak Cik Wan yang kediamannya sering dinaiki air bila hujan lebat. 


Tag: