• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

‘Food Bank’ Masjid Inisiatif Bantu Rakyat Kesempitan

KUALA TERENGGANU, 1 Julai - ‘Food Bank’ masjid merupakan salah satu inisiatif untuk membantu rakyat yang kesempitan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Setiausaha Masjid Kg. Gong Tok Nasek, Mohd Shahrul Affendy Omar, 27, ketika ditemu bual oleh pemberita.

“Bermula ‘food bank’ di Masjid Kg. Gong Tok Nasek pada awal tahun lalu di mana setakat ini kira-kira seramai 50 orang yang telah datang ke masjid ini untuk mendapatkan sumbangan.

“Manakala sebanyak 95 pek bantuan makanan asas telah kita keluarkan daripada ‘food bank’ ini dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan melalui 2 fasa sepanjang tempoh PKP ini.

“Alhamdulillah, setakat ini sambutan orang ramai untuk menderma juga sangat menggalakkan di mana ada yang menghantar barang-barang secara terus dan ada juga yang ‘bank in’ ke akaun bank masjid,” kata Mohd Shahrul.

Menurut beliau lagi, ‘food bank’ di Masjid Kg. Gong Tok Nasek beroperasi pada hari Ahad hingga Khamis bermula jam 9.00 pagi jam 12.00 tengah hari. 

“Masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam menyalurkan segala maklumat dan menjadi pusat komuniti dalam menjaga perihal kebajikan masyarakat setempat,” tambahnya lagi.

Beliau juga turut berharap agar mereka yang memerlukan bantuan tidak berasa segan untuk mendapatkan sumbangan ini kerana pihak masjid akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan.

Selain Masjid Kg. Gong Tok Nasek, terdapat beberapa buah masjid lagi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk yang menyediakan khidmat ‘food bank’ seperti berikut :

1. Masjid Tengku Tengah Zaharah
2. Masjid Taman Permin Jaya
3. Masjid Kg. Kubang Ikan
4. Masjid Al-Furqan Chendering