• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Food Pas' Pusing Kampung Bantu Rakyat Susah

SETIU, 16 Jun - Memahami dan merasai kesusahan rakyat di sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil inisiatif menubuhkan 'Food Pas'.

Mohd Shafizi Ismail berkata, dengan tema ‘Berkebajikan Sepanjang Hayat’ bantuan makanan itu mula disalurkan kepada golongan sasar sejak kelmarin.

"Operasi kami mudah iaitu hanya meronda ke setiap kampung dalam DUN ini, kemudian mengagihkan barangan keperluan harian kepada semua penduduk yang terjejas.

“Beras, tepung, gula, susu dan lain-lain kami agihkan kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik, sesiapa yang merasa memerlukan boleh segera berhubung dengan Jawatankusa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Langkah proaktif ini penting bagi memastikan barangan sampai dengan cepat dan kena pada sasaran, ia juga bagi kelangsungan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan masyarakat, ini juga platform kepada orang ramai berkongsi rezeki,” katanya kepada UPDI.

Mengulas lanjut, Mohd Shafizi memaklumkan inisiatif murni itu mendapat kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) Batu Rakit Care.

“Idea mewujudkan ‘Food Pas’ ini hadir selepas banyak sokongan yang diberikan daripada pihak tertentu terutamanya JPKK DUN Batu Rakit.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kami ucapkan kepada Pengerusi JPKK Kampung Wakaf Chagak, Che Rahim Che Harun,” jelas Shafizi.

Tambah Mohd Shafizi, demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, inisiatif itu akan dikekalkan dan ditambah baik.

“Saya juga secara khusus akan mewujudkan ‘Food Pas’ ini di semua JPKK dalam DUN Batu Rakit agar kita dapat terus membantu mereka-mereka yang memerlukan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit,” ujarnya.


Tag: