• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Fuhh…Macam Rumah Kampung Betul

KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Sentuhan jari-jemari ajaib menerusi teknik tiga dimensi (3D) menjadikan lukisan Mohd Rozaimil Yatim seakan-akan wujud.

Mohd Rozaimil, 36, kembali berkarya selepas dia mengabadikan potret pemimpin negara serta wira barisan hadapan yang berjuang melawan pandemik Covid-19 pada topi keledar. 

Kini dia sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil dengan karya 3D menggunakan teknik ‘air brush’ dan melakukan transformasi terhadap sebuah rumah simen menjadi rumah kayu berlatar belakang suasana kampung sekitar 1980-an.

Hasil lakaran itu dapat dilihat pada struktur rumah kedai miliknya di Kampung Raja Barang, Chendering, di sini. 

Karya tersebut menjadi tular selepas ia dimuat naik di media sosial Facebook, Khamis lalu sekaligus mengundang rasa kagum netizen dengan lukisan yang ‘hidup’.

Berkongsi cerita di sebalik ‘pembikinan’ karya terbaharunya itu, dia mendapat idea untuk mengubah pemandangan pada bentuk asal kediaman itu sejak Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Idea ini datang sejak PKP kali ini memandangkan saya tidak boleh melakukan kerja seperti biasa. Saya terfikir untuk mengisi waktu lapang dengan menghasilkan sebuah kediaman yang dapat mengimbau kembali nostalgia dan pemandangan lama. 

“Pada mulanya saya hanya bercadang untuk melukis pada bahagian tertentu rumah, namun mendapat sokongan ramai supaya melengkapkan lukisan meliputi keluasan  9 meter lebar x 3 meter tinggi rumah berkenaan,”ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurut Mohd Rozamil, dia mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lukisan tersebut dengan kos RM100 dengan manfaatkan sepenuhnya barangan yang sedia ada kerana tidak banyak kedai boleh beroperasi ketika itu.

"Warna asas lukisan ini ialah hitam, putih, coklat dan hijau bagi melakar tema-tema seperti tandas di luar rumah, kain batik, selipar jepun 'tat sing', bacaan meter elektrik lama, beranda rumah, haiwan peliharaan dan beberapa lagi elemen lain  yang dijangka mampu bertahan dalam tempoh lima tahun,”katanya yang menggunakan nama pena Zameer Pentbrush pada laman Facebooknya. 

Menurut Mohd Rozamil, hasil karya itu adalah percubaan pertama bagi seni lukisan dinding yang sudah ditinggalkan sejak 10 tahun lalu kerana memberi fokus kepada seni dan rekabentuk serta lakaran halus bagi barangan seperti topi keledar, motosikal dan lain-lain.

"Suasana rumah kampung begini sudah tentu menggamit kenangan bagi mereka yang memandangnya, terutama mereka yang membesar dalam suasana kampung suatu ketika dahulu," katanya.

Antara cabaran yang dihadapi Mohd Rozamil ketika menyiapkan karya tersebut adalah cuaca yang tidak menentu ketika ini.

"Acapkali juga sedang asyik melukis, tiba-tiba hujan turun menyebabkan cat rosak.

"Terpaksa mengecat balik tapi walaupun penat tapi saya rasa gembira apabila melihat hasilnya dan ramai yang memuji bahawa lukisan ni nampak 'real',” ujar pelukis yang berpangkalan di Terengganu ini.

Tambahnya lagi, setelah tular di Facebook, 'rumah kampung' ciptaannya itu sentiasa dikunjungi orang ramai yang ingin bergambar sambil mengimbau kenangan lama.

Sebelum ini, hasil karya bapa kepada dua cahaya mata itu pernah tular selepas dia mengabadikan potret pemimpin negara serta wira barisan hadapan yang berjuang melawan pandemik Covid-19 pada topi keledar. 

Antara wajah yang diabadikan pada lukisan  ialah potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam hasil karyanya.

Lebih membanggakan apabila sentuhan 'magis' Mohd Rozamil
mendapat perhatian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut menempah lukisan pada helmet baginda untuk sukan berkuda.