• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Gabungan PENJANA Dan PITAS Rancakkan Kembali Ekonomi Rakyat

 

KUALA TERENGGANU, 26 September - Pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 mampu membantu usahawan terus bertahan dalam mengharungi cabaran akibat Covid19.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata inisiatif-inisiatif di bawah PENJANA ini sejajar dengan dasar kerajaan negeri menerusi PITAS 2030.

Justeru itu katanya, beberapa perkara perlu diberi penekanan serius oleh semua pihak bagi menjayakannya.

"Pertamanya, semua pihak termasuk kerajaan, komuniti perniagaan mahupun masyarakat pengguna perlu memberi sokongan padu terhadap Program Jualan Malaysia ( PJM) 2020 yang digerakkan bersama-sama Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

"Program ini akan menggalakkan rakyat untuk keluar berbelanja bagi meningkatkan ekonomi sekaligus membantu sektor peruncitan dan ekonomi untuk melakukan pemulihan ekonomi disebabkan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian PJM Dan KBBM di aras dua, Kuala Terengganu City Centre(KTCC), di sini hari ini.

Seramai 41 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 32 outlet yang menyertai PJM dan KBBM 2020 kali ini di Terengganu yang berlangsung selama empat hari bermula 24 sehingga 27 September.

Tambah Nurkhuzaini lagi, seluruh komuniti perniagaan perlu mengadakan promosi yang tidak terhad sepanjang tempoh kempen dilaksanakan.

"Jualan murah ini sudah pastinya akan memberi ruang yang fleksibel kepada rakyat untuk terus  berbelanja," kata beliau.

Beliau berkata, pelaksanaan PJM 2020 dan KBBM menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 


Tag: