• 28 Okt 2021 | 21 Rabiul Awal 1443

Gadis Terengganu Dinobat Pelajar Ketujuh Terbaik Dunia

KUALA TERENGGANU, 20 April - Niat tidak mahu menyusahkan ibu dan ayah mendorong Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, dari Kampung Tengkawang, Hulu Terengganu untuk memperoleh markah tertinggi setiap kali menduduki peperiksaan.

Terbaru Fatin Nabihah dari Kampung Tengkawang, Kuala Berang, di sini diumumkan sebagai pelajar terbaik di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi peperiksaan Strategic Business Reporting (SBR).

Pelajar  INTEC Education College (INTEC) di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu antara 92,000 calon di seluruh dunia yang menduduki peperiksaan tersebut baru-baru ini.

Fatin Nabihah berkata, ibunya seorang suri rumah manakala ayah tirinya hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Keadaan ini mendorong saya supaya sedaya upaya mencapai markah tertinggi setiap kali menduduki peperiksaan penting."ujarnya pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman.

Katanya lagi, apabila mendapat keputusan cemerlang sudah pasti akan ada pihak yang memberi biasiswa dan ia secara tidak langsung tidak akan membebankan keluarga untuk menanggung perbelanjaannya sewaktu belajar.

“Ketika mengambil Diploma di  Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, saya berjaya memperoleh biasiswa dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Manakala ketika menyambung ijazah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor, rezeki masih menyebelahi saya kerana dapat pengecualian bayaran  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  berikutan memperoleh Ijazah Kelas Pertama,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu dibesarkan oleh ibu Noriah Ahmad, 47, dan ayah tiri, Mustape Che W Abdullah, 68, sebaik kematian ayah kandung ketika berumur 11 tahun akibat sakit jantung.

Bercerita tentang peperiksaan SBR secara dalam talian, Fatin Nabihah berkata, banyak cabaran yang terpaksa dilalui terutama berkaitan capaian internet.

“Saya hanya menggunakan telefon bukannya computer riba atau komputer meja, keadaan itu kadang kala menganggu tumpuan.

“Berkat doa dan dorongan ibu supaya terus berusaha mencapai kejayaan demi kejayaan, akhir saya diumumkan pelajar terbaik Malaysia bagi peperiksaan SBR," katanya yang ketika ini menerima tajaan Yayasan Sime Darby.

Fatin Nabihah turut berkongsi petua untuk mudah faham, sentiasa tenang dan ingat apa yang dipelajari, antaranya  memulakan ulangkaji pelajaran seawal 4.00 pagi hingga 6.00 pagi.

“Sebelum ulangkaji buat solat sunat n baca al-Quran, lepas itu amalkan sedekah waktu subuh dan seterusnya Solat Dhuha,”katanya.

 

 


Tag: