'Gag Order' Sekat Rakyat Suarakan Kepentingan Awam

KUALA LUMPUR, 16 Februari - Tindakan kerajaan memohon perintah larangan bersuara (gag order) berhubung isu Titah Adendum disifatkan sebagai cubaan untuk menyekat  rakyat menyuarakan kepentingan awam.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mempertikai kewajaran larangan berkait dengan sesuatu perkara yang sepatutnya perlu dibahaskan.

"Bagaimana nak dihalang daripada kita memperkatakan sesuatu sedangkan kita boleh bercakap?," soalnya ketika bangun berucap di Persidangan Parlimen dalam Persidangan Dewan Rakyat 2025, pada Jumaat.

Menurutnya dalam disiplin ilmu Islam, salah satu daripada pengajian ilmu adalah ilmu mantiq yang memasukkan kaedah ‘al-insan haiwanun natiq’: manusia itu ialah haiwan tetapi bezanya dengan haiwan ialah boleh berkata-kata.

"Manusia ini bila berkata-kata ada yang boleh berkata-kata dan ada yang tidak boleh berkata-kata dengan makna bisu. 

"Tapi yang bisu pun masih lagi menggunakan bahasa isyarat, apatah lagi kita pula manusia yang boleh berkata-kata," katanya yang membuat permohonan membahaskan perkara berkenan  kerana kes tersebut menyentuh isu sensitif.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan memaklumkan, kerajaan akan memohon di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah larangan bersuara bagi melarang mana-mana pihak membincangkan permohonan semakan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Titah Adendum.

 


Tag: