• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Gajah Betina Seberat 2.5 Tan Berjaya Ditangkap Di Durian Bador

HULU TERENGGANU, 7 Mac – Seekor gajah betina  yang dipercayai menceroboh Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS) dan merosakkan kebun penduduk di Kampung Durian Bador dekat Kuala Berang, akhirnya berjaya ditangkap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Khamis lepas.

Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata haiwan liar seberat 2.5 tan itu ditangkap kira-kira pukul 10 pagi  sewaktu berkeliaran di Kampung Durian Bador yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari TPNS.

Katanya, proses penangkapan gajah betina itu melalui kaedah tembakan ubat pelali dalam operasi yang dijalankan enam kakitangan Unit Tangkapan Gajah, Terengganu.

“Perhilitan Terengganu telah membuat pemantauan sejak Selasa (2 Mac), selepas menerima aduan daripada penduduk kampung sekitar mengenai sekumpulan gajah yang sering berkeliaran di kampung mereka dan merosakkan tanaman penduduk.

"Hasil risikan mendapati terdapat sembilan ekor gajah dalam kumpulan ini dan Perhilitan Terengganu akan terus memantau pergerakan gajah lain yang masih berkeliaran.

"Kumpulan gajah ini dipercayai keluar dari hutan berhampiran dan menceroboh masuk ke perkampungan penduduk untuk mencari makanan," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata berita kejayaan menangkapan haiwan itu, melegakan penduduk di sekitar Kampung Sekayu, Kuala Menjing, Durian Bador Kemat, Padang Setar dan Taman Pertanian Negeri Sekayu, kerana tanaman mereka sering dimusnahkan, sebelum ini.

Tambahnya lagi, gajah tersebut akan dilepaskan ke habitat asalnya di Taman Negara Terengganu, Hulu Terengganu pada masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.

“Lokasi pemindahan serta pelepasan semula gajah liar terbabit ialah di Taman Negara, Tanjung Mentong di Hulu Terengganu," kata Abdul Malek.

Media sebelum ini melaporkan lebih 117 pokok palma yang terdapat di TPNS telah musnah dirosakkan sekumpulan gajah sejak tahun lalu dan  merosakkan tanaman sehingga penduduk kampung terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.