• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Gajah Cetuskan Kebimbangan Penduduk



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 19 September - Penduduk di Blok A, Taman Mulia Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), disini, dikejutkan dengan kehadiran gajah dikatakan berkeliaran berdekatan kediaman mereka.

Penduduk, Azuhan Haris, 51, berkata, sebelum ini gajah berkenaan hanya dilihat berada di dalam hutan terdekat dan sekadar berada dipinggir kampung berdekatan kawasan sungai.

"Lama kelamaan nampak semacam dan berlainan apabil mula masuk ke halaman rumah, mula bermain di tepi rumah, tepi dapur sehingga menghadirkan perasaan bimbang orang ramai.

"Harap-harap pihak berwajib kalau boleh pindahkan gajah berkenaan ke habitat asalnya ataupun halau kemana-mana agar tidak mengancam penduduk," ujarnya kepada pemberita semasa kunjungan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di lokasi kejadian, semalam.


Sementara itu,Ghazali memaklumkan gajah berkenaan dilaporkan berada di luar pagar Masjid Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (AMBS).

"Boleh dikatakan datang tiap-tiap bulan ke AMBS tetapi tidak pernah sampai kepada penduduk sehingga merosakkan tanaman.

"Sebagaimana semalam gajah berkenaan merempuh pagar dan merosakkan tiga kebun di belakang halaman rumah penduduk," jelasnya.

Justeru itu, menurutnya pihak DUN memandang serius perkara berkenaan.

"Sebab bukan sekadar ladang sawit dimusnahkan oleh gajah tetapi dua, tiga malam ini bermain di rumah penduduk.

"Dalam masa yang sama kemunculan harimau kumbang mencetuskan lagi perasaan risau sehingga ada yang mengadu kepada saya sudah seminggu tidak menghantar anaknya pergi mengaji pada waktu malam," jelasnya.

Justeru, beliau mengharapkan agar pihak Perhilitan Negeri Terengganu dan pihak berwajib dapat menangkap gajah tersebut dan dipindahkan ke temapt sepatutunya agar keamanan dan keselamatan penduduk dapat dipulihkan kembali.

Sementara itu, Pegawai Perhilitan Daerah Dungun, Zulkarnain Mohamad berkata pihaknya telah mengambil tindakan dengan membuat pemantauan dan sebagainya termasuk usaha menjejaki gajah terbabit.

Tag: