Gajah : Konflik Haiwan, Manusia Perlu Diurus Dengan Bijak

KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Insiden menyayat hati seekor anak gajah yang mati akibat dilanggar lori ayam, disusuli dengan tindakan si ibu meratapi kematian anaknya itu, telah mencetuskan gelombang emosi dan perbincangan hangat di media sosial.

Tragedi tersebut sekali lagi menyerlahkan konflik yang semakin kerap berlaku antara manusia dan hidupan liar, terutama apabila habitat haiwan terganggu akibat pembangunan dan pembukaan tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, mengakui simpati terhadap kejadian tersebut namun menegaskan perlunya pendekatan yang lebih rasional dan seimbang dalam menangani isu ini.

“Kita sangat sedih melihat ibu gajah yang kehilangan anak dalam kemalangan tragis ini. Namun, kita juga perlu rasional antara keperluan pergerakan manusia dan kehidupan haiwan.

“Manusia perlu bergerak mencari rezeki dan gajah juga perlukan habitatnya. Kadang-kadang, konflik ini tidak dapat dielakkan – tetapi ia perlu diurus dengan bijaksana,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial semalam.

Katanya lagi, dalam kontkes Terengganu keluasan Hutan Simpan Kekal (HKS) masih pada paras 42 peratus keluasan negeri dan ia memadai untuk habitat 200 ekor gajah sebagaimana data daripada Jabatan Perhilitan.

"Tetapi kewujudan kebun dan ladang di kawasan pinggir hutan menjadi faktor penarik (pulling factor) yang menarik perhatian gajah ini keluar bagi mendapatkan sumnber makanan mudah dari kebun dan ladang.

"Disediakan pula Santuari Gajah Tasik Kenyir Hulu Terengganu, Santuari Gajah Sungai Deka Hulu Terengganu dan Taman Negara Tasik Kenyir sebagai habitat pemuliharaan gajah, jutaan ringgit dibelanjakan setiap tahun untuk jaga gajah," tambah beliau.