lightning-solid
Berita :
Gajah Liar : Pasang Pagar Elektrik Solar, Wujudkan Pasukan Respon Pantas
Gajah Liar : Pasang Pagar Elektrik Solar, Wujudkan Pasukan Respon Pantas
Rohayati Ripin
12 Nov 25
215

KUALA TERENGGANU, 12 November – Isu pencerobohan gajah liar di Hulu Dungun yang memusnahkan tanaman dan menjejaskan pendapatan penduduk mendapat perhatian serius apabila ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman mencadangkan pemasangan pagar elektrik solar moden dan penempatan pasukan respon pantas PERHILITAN di kawasan berisiko.

Katanya, isu itu memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk dan mengurangkan kerugian ekonomi. 

"Isu pencerobohan gajah di Kampung Dendang, Tepus, AMBS dan Kampung Shukur dan beberapa kampung lain baru-baru ini terus merisaukan rakyat," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap perbahasan  ke atas Enakmen Perbekalan 2026  pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Ke-15 2025, sidang DUN Terengganu, pada semalam.

Katanya, pelaksanaan program tanaman penampan seperti halia, cili padi dan nanas untuk mengurangkan risiko pencerobohan.

Selain itu, Ghazali menekankan kepentingan teknologi dalam memantau pergerakan gajah. 

“Pemetaan laluan migrasi menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) boleh membantu merancang kawasan berisiko dan mengurangkan insiden pencerobohan.

"Matlamat kita adalah keharmonian antara manusia dan hidupan liar, bukan konflik berpanjangan," ujar beliau.

WhatsApp Image 2025-11-11 at 4.45.18 PM.jpeg 333.36 KB
Dalam masa sama, Ghazali turut mencadangkan pembangunan 'Jejak Sejarah Hulu Dungun' dan Pusat Interpretasi Sejarah bagi memulihara tapak warisan seperti Kubu Mat Kilau dan laluan gerila lama yang berpotensi menjadikan Hulu Dungun sebagai destinasi pelancongan sejarah dan eko-warisan terkemuka.

"Hulu Dungun memiliki warisan sejarah yang menarik dan mempunyai nilai, termasuk tapak Kubu Mat Kilau, laluan gerila, lokasi tradisi orang lama serta jejak perjuangan lama. 

"Potensi ini belum dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Justeru itu, beliau mencadangkan pembinaan 'Jejak Sejarah Hulu Dungun' dengan papan interpretasi laluan bersih, akses yang baik dan QR Digital memudahkan pengunjung mengakses naratif sejarah.

Selain itu, Pusat Interpretasi Sejarah untuk dokumentasi, bahan visual, arkib dan tarikan pelajar serta pelancongan.

"Elemen eko-pelancongan turut digabungkan melalui promosi lokasi seperti Bumbung Raja di Kg. Pasir Raja dan Hutan Lipur Chemerong, sekali gus menjadikan pengalaman lawatan lebih lengkap. 

"Pembangunan secara berfasa dijangka bukan sahaja mengekalkan warisan sejarah, tetapi turut menjadi pemangkin ekonomi baharu kepada komuniti pendalaman Hulu Dungun," tambah beliau.



Tag :

Artikel Berkaitan