• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KEMAMAN, 23 Oktober - Kimpalan bawah air bukanlah satu bidang baharu, malah ia merupakan pekerjaan yang mempunyai permintaan meluas di serata dunia tetapi memerlukan kelayakan dan keupayaan tinggi.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Shakib Ahmad Shakir berkata, pelbagai industri seperti minyak dan gas serta pembaikan kapal memerlukan juru kimpal bawah air yang berupaya memperoleh pendapatan enam angka setahun.

“Namun begitu, peluang latihan dalam bidang ini adalah amat terhad kerana tidak banyak pusat latihan di Malaysia yang mampu menawarkan kursus ini.

“Bidang ini memerlukan dua kemahiran utama iaitu menyelam dan mengimpal di bawah air. Oleh itu, peserta kursus pertu diberi latihan secukupnya bagi kemahiran-kemahiran ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim memeriksa peralatan juru kimpal bawah air di Adtec Kemaman

“Contohnya, Program Underwater Welding di ADTEC Kemaman mengambil masa 17 minggu dan terdin daripada empat modul utama seperti Open Water Diver, Commercial Diver, Wet Welding dan industry Preparation,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kompetitif Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran Bagi Program Kimpalan Bawah Air Di ADTEC Kemaman, kelmarin.

Tambah Shakib, program tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada lulusan bidang kimpalan Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) seluruh Malaysia dengan 160 permohonan telah diterima,

“Namun hanya 10 orang calon terbaik telah ditawarkan mengikuti program setelah memenuhi semua kriteria dan melepasi tapisan-tapisan dalam sesi ujian dan temu duga,” jelasnya.

Antara 10 calon terpilih (berbaju putih, tali leher merah) di Adtec Kemaman

Katanya, yuran pembiayaan untuk menjalani kursus Kimpalan Bawah Air adalah sangat tinggi kerana kursus ini melibatkan pensijilan oleh badan antarabangsa seperti The Australian Diver Accreditation Scheme (ADAS), The National Association of Underwater Instructors (NAU) dan Professional Association of Diving Instructors (PADI).

Mengulas tentang usaha program pembiayaan bagi menyokong agenda pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) telah membiayai program-program Underwater Welding berjumlah RM720 ribu bagi melatih 40 orang pelatih.

“Program Underwater Welding merupakan satu program yang melibatkan kos pembelajaran yang tinggi mencecah RM46 ribu bagi setiap pelatih. Kos yang tinggi ini bukan sahaja melibatkan kos latihan semata-mata menganugerahkan pensijilan professional,” jelasnya dalam satu kenyataan.