• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Galak Belia Ternak Arnab

HULU TERENGGANU, 12 Disember - Golongan belia di negeri ini digalakkan menceburi bidang pertanian dan penternakan sebagai pekerjaan yang memberi pendapatan lumayan.

Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirullah Othman berkata, bidang pengeluaran makanan dan pertanian adalah penting untuk masa depan negara dan golongan muda perlu mengambil peluang yang disediakan sebagai salah satu cabang kerjaya.

"Saya berharap agar golongan belia di negeri ini tidak melepaskan peluang yang ada demi masa depan mereka sendiri.

"Kerajaan sering menyediakan ruang dan terpulang kepada mereka untuk mengambil inisiatif membangunkannya secara berkesan," ujarnya ketika ditemui di Kursus Asas Penternakan Arnab di RestHouse Kuala Berang, hari ini.

Majlis perasmian Kursus anjuran Majlis Belia Hulu Terengganu (MBDHT) telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid.

Seminar bagi menggalakkan penyertaan golongan muda dan memberi panduan serta dorongan kepada mereka untuk terbabit dalam sektor penternakan arnab. berjaya menarik 72 peserta dari Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Sementara itu, Rosol berkata penternakan arnab mampu menjadi satu prospek baharu dalam bidang pertanian.

Beliau turut yakin masa depan industri ternakan arnab pedaging dan hiasan amat cerah serta mampu memberi pulangan yang menguntungkan, sekiranya diusahakan dengan skala besar.

"Permintaan terhadap daging arnab semakin meningkat dan ia mampu menjadi alternatif kepada sumber protein selain lembu dan kambing.

"Hasil pendapatan pun lumayan dan saya difahamkan seekor arnab hidup dijual RM12 sekilo, daging RM35 sekilo dan tanpa tulang RM45 sekilo," katanya.


Tag: