Gangguan Kera: Basung Ranger Antara Solusi

KUALA TERENGGANU, 18 April -  Kerajaan negeri bakal menerapkan idea yang menggunakan konsep kerjasama bersama komuniti setempat dalam menangani konflik haiwan perosak tanaman, kera, di daerah Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata pihaknya sedang meneliti cadangan bagi membasmi permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat yang terkesan.

"Bagi menangani isu ini secara lebih berkesan, Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan pasukan keselamatan komuniti, berasaskan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui penubuhan Pasukan Basong Rangers di Hulu Terengganu. 

"Pendekatan ini dilihat berpotensi untuk diperluaskan dengan penglibatan aktif masyarakat setempat dalam usaha pengurusan konflik hidupan liar.

"Sekarang ini kita telah berjaya 'menghalau' gajah dengan Basung Ranger. Setakat ini sudah tiada aduan daripada orang kampung mengenai gangguan daripada gajah. Jadi sekarang ini apa yang kita ingin buat untuk menangani isu kera ini, kita akan buat sama seperti Basung Ranger," jelasnya.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam.  

Menurutnya, dari tahun 2020 hingga Mac 2025, sebanyak 192 aduan berkaitan pengurusan konflik hidupan liar yang melibatkan spesies kera telah diterima oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu.

"Sebagai langkah penyelesaian, sebanyak 754 tindakan telah diambil dan sejumlah 3,413 ekor kera telah dilupuskan. 

"Termasuk melalui kaedah tembak mati serta tangkap lupus, yang melibatkan penggunaan perangkap dan suntikan ubat untuk memusnahkan haiwan tersebut," katanya. 

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Mamad Puteh, mengatakan bahawa mengikut purata harian daripada statistik yang telah diberikan, hanya lebih kurang empat ekor kera sahaja telah dilupuskan setiap hari.

"Oleh itu saya telah menekankan yang kita (pihak kerajaan negeri) akan menubuhkan satu pasukan seperti Basung Ranger di Hulu Terengganu, di mana apabila kita mendapat kerjasama antara komuniti setempat, setiap malam (masa) operasi boleh dijalankan

"Dan saya yakin perancangan ini akan memberikan keputusan yang baik. Cuma hasilnya bergantung kepada jumlah kelengkapan (senapang) yang dapat dibekalkan," jawab Razali kepada celahan ADUN Kuala Berang.