• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ganja Jika Dibenarkan Beri Impak Negatif Kepada Negara

KUALA TERENGGANU, 15 April - Kesan negatif yang serius boleh berlaku jika kerajaan membenarkan penanaman, pemprosesan dan penjualan ganja setelah ia rancak diperjuangkan oleh sesetengah pihak untuk menjadikan ia sebagai entiti perubatan. 

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, ini kerana ia akan mengundang kepada kecenderungan penyalahgunaan terhadap bahan berkenaan apabila ia dijual atau diperolehi secara mudah.

"Sebagaimana statistik dari penjualan ganja secara rekreasi di Amerika Syarikat telah meningkat dengan banyak melebihi daripada peningkatan penjualan untuk tujuan perubatan. Boleh lihat laporan dari laman web rasmi Marijuana Business Daily, dimana penjualannya pada tahun 2017 ($2.5 hingga $3.2 bilion) dan tahun 2018 ($2.9 hingga $3.8  bilion) semakin meningkat

"Ini berlaku kerana permintaan terhadap ganja untuk tujuan rekreasi semakin bertambah pada setiap tahun dan jangkaan jualan semakin meningkat pada 2019 dan tahun mendatang melebihi berkali ganda daripada digunakan untuk perubatan. Perkara ini amat membimbangkan kerana diketahui umum jika disalahgunakan boleh merosakkan fizikal, mental dan sosial masyarakat,"ujarnya melalui kenyataan di facebooknya, di sini, pada semalam.

Ujarnya lagi, lebih parah melalui kajian yang dijalankan di Amerika pada 2013, terdapat lebih 800,000 penduduknya seawal usia 12 tahun telah dirawat disebabkan ketagihan terhadap ganja.

"Didapati 10 peratus daripada mereka yang terbabit mempunyai ketagihan yang teruk, dimana kajian tersebut juga menunjukkan daripada 6.9 juta orang yang menyalahgunakan dadah, 4.2 juta daripanya menggunakan ganja.

"Justeru keadaan ini menunjukkan masalah yang serius telah dihadapi di peringkat  global dan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Desakan daripada kumpulan yang ingin menghalalkan pengunaannya akan mendatangkan kerugian kepada negara. Masyarakat seharusnya menolak dakyah-dakyah sebegini.

"Bagi memastikan taraf kesihatan fizikal dan mental rakyat dapat dilindungi daripada masalah ketagihan baharu, kerana boleh mendatangkan kesan terhadap institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat."katanya.

Tambahnya lagi, mengikut kajian yang telah dikeluarkan oleh National Academis of sciences, Engineering and Medecine (NASEM USA) dari Centers of Disease Control and Prevention (CDC), Food and Drug Adminstration (FDA) dan beberapa badan terkemuka dan berautoriti menunjukkan ganja hanya berguna dalam tiga keadaan sahaja.

"Untuk mengawal semua jenis sakit saraf yang dinamakan 'Chronic Neurophatic Pain', dimana ia hanya digunakan sebagai rawatan tambahan kepada ubatan dan rawatan sedia ada yang telah terbukti berkesan bukanlah digunakan rawatan utama, sebaliknya hanya pilihan akhir dengan penyeliaan perunding berpengalaman dimana pesakit perlu dikawal rapi, setelah timbulnya ketagihan maka ia hendaklah dihentikan.

"Ia juga berkesan digunakan untuk melegakan muntah-muntah disebabkan rawatan kemoterapi juga sebagai pilihan akhir sekiranya rawatan lainya tidak berhasil serta ia boleh mengurangkan spastik atau ketegangan otot yang disebabkan oleh penyakit 'Multiple Sclerosis'(MS) dalam keadaan ini pun ia masih tidak menjadi rawatan utama,"ujarnya.

Makanala menurutnya, pihak FDA pula meluluskan penggunaan ganja perubatan jenis cecair CBD berjenama Epidiolex ® untuk rawatan penyakit sawan teruk kanak-kanak dan di United Kingdon dan Kanada serta beberapa negara Eropah pula meluluskan bahan berkenaan beraskan minyak CBD bernama nabiximols (Sativex ®).

"Kita menegaskan bahawa negara ini tidak perlu menaman ganja atas alasan ingin menjalankan kajian. Keputusan yang telah dibuat oleh badan berkuasa dunia FDA dari WHO itu sudah memadai. 

"Perlu diingat bahawa kebenaran meluluskan ganja bagi kegunaan untuk perubatan berbeza dengan kebenaran dihalalkan untuk tujuan kajian perubatan,"katanya lagi.