• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Gara-gara Pelajar Tertidur Dalam Bas, SMK Tengku Ampuan Intan Muncul Juara YIC 2019



Pasukan SMK Tengku Ampuan Intan menerima pingat dan sijil daripada Ahmad Shah.

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos – Gara-gara kecuaian pelajar yang kerap tertinggal barang dan tertidur dalam bas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan dari Kuala Berang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Young Innovators Challenge (YIC) Peringkat Negeri Terengganu 2019, di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), hari ini.

Pasukan yang dianggotai Haris Idzham Abdul Rashid, Ahmad Haziq Akmal Ahmad Hanafi, Muhammad Zulfadhly Mohd Zulkifly yang berusia 16 tahun itu mendominasi pertandingan apabila berjaya mencipta satu alat dinamakan ‘Seat Taken Detector’ yang berfungsi membantu pemandu bas mengesan penumpang atau barangan yang masih berada di dalam bas ketika enjin dimatikan.

Guru pembimbing mereka, Nor Azma Mohamed berkata, pasukannya memulakan projek berkenaan sejak Julai lalu dengan peralatan yang dibekalkan penaja Chumbaka dan barangan terpakai.

“Rata-rata pemandu bas yang kami temu bual menyatakan mereka sering menghadapi masalah apabila penumpang terutamanya pelajar kerap tertidur atau tertinggal barang di dalam bas tanpa mereka sedari.

“Walaupun isu itu kelihatan kecil, kami akhirnya mendapati terdapat kes-kes berat seumpamanya seperti kanak-kanak lemas dalam kereta kerana kehadiran tidak disedari ibu bapa yang memandu, lantas memutuskan inovasi ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penutup program berkenaan yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.
Ahmad Shah memeriksa hasil inovasi pelajar.
 
Menurut Normah lagi, projek inovasi itu merupakan idea yang sangat baik untuk diaplikasi secara komersial.

“Alat ini berfungsi mengesan tempat duduk yang telah diisi menggunakan sensor yang terpasang dikerusi. Apabila objek dikesan berada dekat di atas kerusi, lampu yang terletak di panel pemandu akan menyala berdasarkan kedudukan tempat duduk.

“Saya rasa pihak berkuasa seperti Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepatutnya mengambil inisiatif ini sebagai salah satu syarat untuk pembinaan bas kerana inovasi ini sangat membantu mencegah kes kanak-kanak tertinggal di dalam kereta yang sering berlaku,” katanya.

Pertandingan berkenaan merupakan anjuran Yayasan Sime Darby sebagai penaja utama dengan kerjasama pelbagai pihak yang diadakan setiap tahun untuk mencungkil bakat serta kreativiti pelajar dalam reka cipta, sains dan teknologi.

Sebanyak 16 buah sekolah menyertai pertandingan peringkat negeri yang dikelola PSKT dan SMK Tengku Ampuan Intan bakal mewakili negeri Terengganu untuk bersaing dalam YIC peringkat kebangsaan kelak.




Tag: