• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Gara-Gara Rentas Negeri, Terengganu Menangis Lagi

KUALA TERENGGANU, 15 April - Aktiviti merentas negeri kerana menghadiri majlis perkahwinan adik menyebabkan 26 individu disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kes terbaharu ini telah mencetuskan Kluster Taman Rakyat di Terengganu menjadikan kes positif terkini seramai 57 orang.

"Rentas negeri dari Sabah untuk menghadiri perkahwinan adik akhirnya menjangkiti 26 orang di mana 11 ahli keluarga dan 15 tetamu kenduri. 

"Hasil pertemuan hanya untuk 'KIRIM' duit kenduri serta 'goodies' telah menjangkiti kawan baik yang mengadakan majlis akikah di kampung akhirnya menjangkiti lima ahli keluarga dan tujuh tetamu akikah," katanya di laman facebook rasminya hari ini.

Tambah Nor Azimi, ia turut menular kepada kawan yang lain melalui penghantaran barang yang dipesan selain aktiviti 'mengeteh' sebelum ini.

Beliau juga berkata sehingga kini seramai 109 dilaporkan dari Kluster Belaoh di Terengganu.

Justeru itu katanya, orang ramai dinasihatkan menangguh perkumpulan ramai orang. 

"Kita tak tahu siapa yang kita jumpa walaupun ahli keluarga atau rakan sekerja. 

"Jika SOP dipatuhi tak akan ada jangkitan. Kalau ada pun sangat minima bukan kluster besar sebegini," ujar beliau lagi.

Nor Azimi juga tidak menolak kemungkinan tercetusnya kluster baharu jika pematuhan SOP di Bazar Ramadhan tidak berlaku.


Tag: