• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Gardenia Disaran Tangguh Dulu Naikkan Harga Roti

HULU TERENGGANU, 28 November – Pengeluar produk roti Gardenia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd disarankan menangguh terlebih dahulu cadangan menaikkan harga roti di pasaran berkuat kuasa 1 Disember ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Rosol Wahid berkata  pihaknya berharap Gardenia Bakeries prihatin dengan kesempitan hidup masyarakat sekarang.

"Walaupun menaikan 10 sen sahaja, ia tetap memberi kesan khususnya kepada pengguna B40.

"Oleh itu, KPDNHEP menyarankan pihak pengeluar produk roti itu untuk menangguh dahulu cadangan menaikan harga roti di pasaran.

"Pelbagai alasan yang diberikan susulan cadangan kenaikan harga itu termasuk kenaikan harga tepung gandum di pasaran," katanya ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Pengguna Kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Stesen Minyak Petronas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani.

Rosol berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Gardenia Bakeries dan memberi cadangan penangguhan kenaikan harga itu.

"Gardenia Bakeries akan memberi jawapan selewat-lewatnya esok sama ada bersetuju membuat penangguhan harga atau sebaliknya.

"Kami akan cari satu jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu untuk kebaikan Gardenia Bakeries dan pengguna," katanya.

Terdahulu pada 25 November, Gardenia KL menerusi satu kenyataan mengumumkan kenaikan harga produknya bermula 1 Disember ini.

Syarikat itu berkata, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan meletakkan ia dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, kenaikan harga sayur di pasaran juga menjadi perhatian KPDNHEP.

Beliau berkata, seramai 1,000 pegawai pemantau harga membuat pemantauan harga sayuran setiap hari di 1,500 premis di seluruh negara.

"KPDNHEP menjalankan Ops Pasar dalam menanggani isu kenaikan harga sayur di pasaran.

"Setakat ini, 43 premis dan 131 barangan diperiksa di seluruh negara dengan 43 Notis Pengesahan Maklumat Bertulis dan 40 Notis Bertulis dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat harga barangan daripada peniaga.

"Pemilik premis diberikan tempoh dua hingga lima hari untuk menjawab notis," katanya.